KUALA LUMPUR 30 Jun - Khairy Jamaluddin menerima keputusan kekalahannya bagi merebut jawatan Presiden UMNO dalam Pemilihan UMNO 2018 dengan hati terbuka.
Beliau berkata, barisan baharu kepemimpinan UMNO ini boleh mengembalikan keyakinan rakyat kepada parti.
Beliau juga berharap kepemimpinan baharu dapat melakukan perubahan total.
“Saya terima keputusan ini dengan hati yang terbuka. Insya’Allah barisan kepimpinan UMNO yang baharu boleh kembalikan keyakinan rakyat kepada parti kita. Lakukanlah perubahan yang total. Buktikan UMNO mampu berubah kearah yang lebih baik,” katanya dalam Twitter di sini hari ini.
Setakat pukul 11 malam, keputusan tidak rasmi yang diperoleh ialah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mendapat 93 undi, Khairy (51 undi) veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah dengan 23 undi.
Khairy turut mengucapkan tahniah kepada Ahmad Zahid yang telah memenangi jawatan Presiden UMNO.
Malah, beliau turut mengucapkan tahniah kepada Tengku Razaleigh yang turut sama bertanding jawatan presiden.
“Tahniah kepada Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi atas kemenangan jawatan Presiden UMNO. Juga kepada Tengku Razaleigh atas penyertaan beliau sebagai seorang negarawan. Terima kasih kepada seluruh perwakilan UMNO kerana berjaya meraikan demokrasi dalam parti,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE