Peguam Latheefa Koya yang mewakili Anwar memberitahu pemberita, pihaknya telah memaklumkan mengenai notis pemberhentian bertarikh 4 Julai lalu itu kepada Mahkamah Tinggi di sini.

Penasihat PKR itu berbuat demikian kerana beliau telah mendapat pengampunan penuh selepas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V menitah pekenan rayuan pengampunannya pada 16 Mei lalu.
Pada 24 Jun 2015, Anwar dan isterinya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan dua anak perempuan mereka, Nurul Izzah dan Nurul Nuha mengemukakan petisyen untuk membatalkan keputusan Lembaga Pengampunan.
Anwar, 69, memohon kebenaran untuk mencabar dan membatalkan keputusan Lembaga Pengampunan pada 16 Mac 2015 dan mendesak lembaga itu supaya menasihati Yang di-Pertuan Agong agar memberi pengampunan dan membebaskannya.
Ketika itu beliau sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh setelah Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari 2015, mengekalkan sabitan dan hukuman kerana meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 33, pada 2008. - UTUSAN ONLINE