.... Kerajaan Hari Ini Masih Kutip Data dan Fakta Dari ‘Longkang’ – Lokman Adam | AAKJ



SHAH ALAM, 22 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Datuk Noor Lokman Adam menyelar barisan kepimpinan kerajaan Pakatan Harapan (PH)sebagai barisan kepimpinan yang tidak mempunyai kredibiliti dan masih lagi berfikiran sebagai pembangkang.
Ini memandangkan, menteri-menteri dalam kepimpinan kerajaan hari ini masih lagi mengutip data dan fakta daripada ‘longkang’ sepertimana yang amalan mereka ketika menjadi pembangkang sebelum ini.
“Sepatutnya bila sudah jadi kerajaan, apabila mereka ingin membuat kenyataan, menteri-menteri mesti memastikan fakta yang mereka dapat itu adalah daripada sumber-sumber yang betul. Mesti bercakap dengan fakta dan tidak boleh membuat kenyataan yang sewenang-wenangnya.
“Sebagai contoh, Menteri Pertanian, Salahuddin Ayub yang mengatakan melalui satu tinjauan beliau, setelah dua minggu GST disifarkan, beliau melihat bahawa harga sayur dan daging turun sebanyak 30 hingga 50 peratus.
“Sebenarnya harga barangan ini, setiap bulan akan dikeluarkan oleh Department Of Statistic (DOSM). Dan harga barangan ini akan dikeluarkan DOSM hanya pada 18 Jun manakala beliau membuat kenyataan harga sayur dan daging turun sebanyak 30 peratus itu pada 15 Jun.
“Jadi persoalannya, daripada mana beliau dapat angka tersebut untuk membuat perbandingan sedangkan DOSM belum lagi mengeluarkan harga purata untuk barangan-barangan pada bulan Jun?.
“Sebab itu kita cabar beliau untuk mendedahkan sayur apa, daging apa dan di kedai mana yang beliau dakwa turun sebanyak 30 hingga 50 peratus itu?,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu di dalam ruangan Diskusi N49 yang disiarkan melalui fecebook Media UMNO Malaysia secara langsung di sini, Sabtu malam.
Tambah Lokman lagi, apabila didesak oleh beberapa NGO termasuk NGO Pemantau Malaysia Baru yang dipengerusikan oleh beliau, akhirnya barulah Salahuddin menarik balik kenyataan beliau itu.
“Dari situ kita dapat menunjukkan kepada rakyat dan meningkatkan kesedaran mereka bahawa, hari ini pembangkang, yang sudah bertukar menjadi kerajaan, adalah satu barisan kepimpinan pembangkang yang tidak kredibel sama sekali.


“Sebab itu, kita perlu menjadi satu kumpulan pembangkang yang kuat, yang ada pengetahuan dan tahu apa metadologi bagaimana untuk mendapatkan data-data daripada sumber yang tepat, supaya kita ada satu pasukan yang boleh memastikan adanya ‘check and balance’ yang kuat untuk kerajaan negeri Selangor dan juga kerajaan pusat,” jelasnya.-MediaUMNO

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top