.... KERAJAAN DIMINTA TANGANI ISU PERKAHWINAN KANAK-KANAK | AAKJ




KUALA LUMPUR, 1 Julai :Kumpulan Pertubuhan Masyarakat Sivil (CSO) hak kanak-kanak (CSCG) menggesa kerajaan mengadakan perbincangan bersama ​​​badan bukan kerajaan (NGO) bagi menangani isu keselamatan kanak-kanak yang kini pada tahap kritikal selepas viralnya laporan perkahwinan gadis 11 tahun dengan seorang lelaki Malaysia berusia 41 tahun.

CSCG dalam kenyataan hari ini berkata, keadaan itu sesuatu yang tidak boleh diterima, dan satu langkah berkesan dan sesuai perlu diambil Malaysia bagi menghentikan amalan tradisional yang boleh menjejaskan keselamatan kanak-kanak.

“Kami minta kerajaan Pakatan Harapan (PH), khususnya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), PDRM, Kementerian Kesihatan, Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Peguam Negara dan Kementerian Pendidikan, segera melakukan kajian menyeluruh terhadap pembangunan dan jaringan keselamatan kanak-kanak.

“Kami menggesa kerajaan untuk bekerjasama dan dengari NGO kerana kami wujud untuk membantu dan menyokong kerajaan merapatkan jurang dalam pelaksanaan dasar dan undang-undang melindungi anak-anak kita, sama ada warganegara atau pun bukan,” kata kumpulan itu sambil menambah bahawa mereka bersedia dan sanggup untuk bekerja dengan kerajaan menangani dan memperbaiki isu perlindungan dan hak kanak-kanak di Malaysia.

Mereka juga meminta kerajaan mengambil tindakan segera mengharamkan perkahwinan bawah umur dan menggunakan undang-undang menetapkan had minimum umur perkahwinan kepada18 tahun dan memenuhi apa yang telah dijanjikan mengenai isu ini seperti di dalam manifesto PH.

Sementara itu Ketua Pemuda PH Nik Nazmi Nik Ahmad dalam kenyataannya juga menggesa kerajaan memulakan langkah mengharamkan perkahwinan bawah umur seperti yang dijanjikan dalam manifesto PH dengan menetapkan umur 18 tahun sebagai umur minimum sah perkahwinan.

Susulan perkahwinan bawah umur melibatkan suami rakyat Malaysia dan isteri berusia 11 tahun, Nik Azmi berkata sudah tiba masanya perkara ini diambil serius dan memulakan tindakan menanganinya.

Katanya perundangan dalam hal tersebut masih samar dengan adanya pengecualian ‘kebenaran mahkamah’ bagi pasangan Islam dan ‘kebenaran Ketua Menteri’ bagi pasangan bukan Islam yang mewujudkan kepercayaan bahawa perkahwinan bawah umur boleh diterima.

Jika berlaku di luar negara tanpa mengikut prosedur bagi pasangan Muslim, kes ini melanggar Seksyen 40(2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam, katanya lagi.

Anggota Parlimen Setiawangsa itu juga menegaskan mengenai keperluan mendesak menubuhkan Suruhanjaya Perlindungan Kanak-Kanak bagi mengkaji semula perundangan seperti Akta Kanak-Kanak 2001 yang dikhususkan untuk melindungi kanak-kanak, bukan sahaja dalam isu perkahwinan, tetapi juga pendidikan dan pemerdagangan manusia antara lainnya.

Pada masa yang sama, Suruhanjaya Hak Asasi  Manusia Malaysia (Suhakam) juga meminta hakim Mahkamah Syariah atau pihak berkuasa yang terus memberikan persetujuan kepada perkahwinan  kanak-kanak untuk berhenti berbuat demikian dan perlu dipertanggungjawabkan kerana terus mengekalkan amalan yang besar kesalahannya ini.

Pengerusinya Tan Sri Razali Ismail dalam kenyataannya berkata, tidak ada justifikasi untuk perkahwinan kanak-kanak bawah umur dan menetapkan apabila ia amalan yang melibatkan agama, ia tidak seharusnya menidakkan hak asasi kanak-kanak terbabit.

Razali tegaskan bahawa menghentikan perkahwinan di bawah umur pada tahun 2030 adalah sesuatu yang telah ditetapkan dalam Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDGS) yang Malaysia komited untuk laksanakan.



Suhakam juga mencadangkan agar kerajaan dan badan-badan agama negeri untuk mengambil langkah aktif memaklumkan kepada masyarakat mengenai keburukan perkahwinan kanak-kanak bawah umur.

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top