.... Kerajaan berasaskan pembohongan tidak kekal lama | AAKJ



24 JULAI: Kerajaan yang dibina berasaskan fitnah dan pembohongan tidak akan kekal lama, tegas ahli Parlimen Lenggong, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.
Justeru itu katanya, beliau percaya rakyat akan menghukum kerajaan Pakatan Harapan (PH) sekiranya mereka berterusan tidak menunaikan janji-janji manifesto PRU14.
“Saya cukup yakin dengan janji Allah, kerajaan yang dibina di atas fitnah dan pembohongan, ia tidak akan lama. Maka tunggulah masa dan ketikanya nanti.

“Sudahlah janji lama tidak tertunai, bertambah-tambah janji dibuat.  Saya percaya jika perkara ini berterusan, Insya Allah kerajaan yang ada pada hari ini akan dihukum oleh rakyat. Sebab itu jangan mudah berjanji dan mencipta pelbagai alasan,” katanya.
Beliau berkata demikian di dalam perbahasan titah  Diraja di Dewan Rakyat, petang Selasa.
Shamsul turut menyifatkan kerajaan PH sebagai kerajaan ‘tukar kulit’.
Ini kerana katanya kerajaan PH yang ada pada hari ini hakikatnya banyak meneruskan usaha-usaha yang dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN).
“Satu ciri tukar kulit, jika dulu BR1M tak bagus, BR1M dedak..tapi hari ini tiba-tiba boleh pula BR1M. Tukar nama kepada Bantuan Sara Hidup Rakyat. Kalau dulu ada bas ‘Muafakat Johor’, sekarang dibuat bas ‘Harapan Johor’. Bas sama, perkhidmatan sama, cat dan logo sahaja lain. Inilah rupa kerajaan pada hari ini.
“Satu lagi ciri PH, dia suka cari keburukan sahaja. Harga barang naik, salah kerajaan dahulu. Segala-galanya menyalahkan kerajaan dahulu. Nak mencari mekanisme macam mana nak selesaikan masalah tidak dibuat,” katanya.
Selain itu, beliau turut menasihatkan pemimpin kerajaan PH supaya berhenti daripada membuat kenyataan secara sesuka hati.
“Contohnya Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani ( Datuk Salahuddin Ayub), pernah membuat kenyataan oleh kerana sudah tidak ada GST, harga sayur, harga ikan turun 30 peratus. (Sedangkan) Sayur memang tidak ada GST sejak dari dulu lagi.
“Ini adalah satu ciri-ciri yang ada pada kerajaan hari ini, suka membuat kenyataan sesuka hati,” katanya.
Selain itu, beliau yang juga bekas Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menegaskan langkah kerajaan menghapuskan sekatan Imigresen terhadap peminjam yang gagal membayar  serta memperkenalkan dasar untuk membayar semula pinjaman pada tangga gaji RM4,000 akan memberi kesan besar pada kewangan badan itu sendiri.
“Kedua-dua dasar ini sebenarnya menunjukkan kerajaan PH hari ini tidak menjaga generasi muda secara keseluruhannya,” katanya. – Oleh AIDIL SYUKRI

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top