.... Kelemahan PH ditutupi dengan kes Najib | AAKJ



SHAHRUL NASRUN
KOTA BHARU 6 Julai - Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dilihat cuba menutup kelemahan demi kelemahan dalam mentadbir negara ini dengan cara mengalih perhatian rakyat kepada kes pendakwaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Exco Pemuda UMNO, Shahrul Nasrun Kamarudin berkata, antara kelemahan itu ialah kelewatan mengumumkan barisan penuh Kabinet diikuti kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengenai jumlah sebenar hutang negara sehingga menimbulkan perasaan tidak yakin pelabur.
Turut dipertikai katanya, penubuhan Tabung Harapan kononnya untuk rakyat secara sukarela membantu kerajaan mengurangkan beban hutang negara sedangkan Bank Dunia menyatakan Malaysia tidak akan bankrap meskipun benar hutang negara berjumlah RM1 trilion.
"Kegagalan kerajaan dalam mengawal harga barang walaupun GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan) ditetapkan pada kadar sifar membuatkan banyak pihak meragui kemampuan PH mentadbir kerajaan.
"Selepas itu, DAP pula tidak berpuas hati dengan pengagihan jawatan dalam Kabinet dan menempelak Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai tidak menghormati DAP yang mempunyai kerusi kedua terbanyak selepas pilihan raya lalu," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Menurut Shahrul Nasrun, selepas satu persatu kelemahan dipertontonkan, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berpendapat tumpuan rakyat tidak seharusnya fokus kepada kelemahan kerajaan kerana mereka boleh kembali menyokong Barisan Nasional (BN).
Katanya, bagi menutup kelemahan itu, Najib perlu diheret ke mahkamah secepat mungkin dan hasilnya, ramai berpendapat pertuduhan yang dikenakan ke atas beliau dibuat secara terburu-buru.
"Sebaik sahaja Najib dihadapkan ke mahkamah, rakyat tidak lagi bercakap mengenai kegagalan kerajaan mengawal harga barang, kenaikan tarif elektrik, jumlah sebenar hutang negara dan janji 100 hari Pakatan Harapan.
"Sebaliknya, tumpuan rakyat beralih dan fokus kepada isu bekas Perdana Menteri dituduh salah guna wang milik SRC International berjumlah RM42 juta.
"Begitulah bijaknya Tun Mahathir dan perkara ini masih tidak disedari kerana sejak Najib dihadapkan ke mahkamah, rakyat hanya bercakap mengenainya dan orang UMNO pula kini fokus mengecam Peguam Negara, Tommy Thomas hanya kerana tidak fasih berbahasa Melayu," katanya.
Sehubungan itu, Shahrul Nasrun menyeru ahli UMNO kembali fokus kepada matlamat memulihkan parti selain terus membuktikan PH tidak mampu menunaikan janji mereka yang bersifat populis demi meraih sokongan rakyat semata-mata. - UTUSAN ONLINE


© Utusan Melayu (M) Bhd 





Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top