Dihadiri atlet termasuk pe­ngunjung daripada pelbagai latar belakang, Jepun tidak lupa memikirkan para atlet Islam dengan mempersiapkan sebuah ‘masjid bergerak’.
Sesuai dengan namanya, masjid tersebut mempermudahkan atlet termasuk pengunjung ber­agama Islam menunaikan solat.
Berdasarkan status akaun Facebook Fukuoka Masjid Al Nour Islamic Center, masjid bergerak itu mampu memuatkan seramai 50 orang jemaah pada satu-satu masa.
Masjid bergerak itu buat pertama kali diperkenalkan di Stadium Toyota di wilayah Aichi pada pukul 3.30 petang hingga 6 petang waktu tempatan.
Kemudahan itu yang dikendalikan oleh Yasu Project Co. Ltd. beroperasi daripada sebuah trak dan dilengkapi dengan kemudahan seperti tempat mengambil wuduk serta dewan solat yang selesa.
Dua tahun lalu, Pegawai Eksekutif Korporat Yasu Project, Junya Imamura melawat Masjid Fukuoka bagi membincangkan dan bertanyakan pendapat tentang pembinaan masjid bergerak dari sudut Islam.
“Kami amat menghargai peluang bagi menyumbang kepada projek yang penting ini,” katanya.
Tambah Imamura, ketika jumlah umat Islam di Jepun mening­kat, adalah menjadi satu ke­perluan untuk memperluaskan hospitaliti kepada mereka yang berhasrat untuk beribadat.
Sementara itu, pembinaan masjid bergerak tersebut adalah bertepatan dengan hasrat Jepun menjadi tuan rumah temasya Olimpik Tokyo 2020 dengan menyediakan pelbagai persiapan dan kemudahan khasnya untuk atlet dan pelancong beragama Islam. – AGENSI