Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd. Shahar Abdullah berkata, banyak keluhan daripada masyarakat peneroka di 16 tanah rancangan Felda dalam kawasan diwakilinya itu yang resah dengan perkembangan semasa seperti trend kejatuhan harga kelapa sawit.
Kata beliau, sebarang situasi atau tindakan yang diambil kerajaan tidak seharusnya menjadikan nasib masyarakat peneroka sebagai taruhan.
“Kena fikir tentang nasib warga Felda terlebih dahulu seperti apa diperlukan sebab para peneroka yang memulakan segalanya dalam tanah rancangan.
“Pisahkan politik dendam dan niat untuk mencari kesalahan orang sebab mereka adalah kerajaan yang membawa slogan harapan baharu. Mereka memberi harapan kepada rakyat, jadi tunaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menziarahi Noroslan Osman, 48, yang terlibat dalam kemalangan sempena program Ziarah Kasih di Kampung Seri Mahkota, Paya Besar di sini hari ini.
Masyarakat peneroka Felda dilaporkan berada dalam keresahan apabila pendapatan bersih mereka merosot teruk sehingga ada yang hanya mampu meraih RM280 hasil jualan komoditi itu pada bulan ini ekoran trend kejatuhan harga kelapa sawit.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut menyatakan kebimbangan dengan nasib peneroka Felda yang didakwa tidak menerima banyak manfaat di bawah pentadbiran kerajaan PH.
Beliau berkata, selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), golongan peneroka seolah-olah tidak diendahkan oleh kerajaan PH apabila Hari Peneroka tidak disambut malah bonus Hari Raya Aidilfitri yang diberikan kepada golongan tersebut juga adalah lebih rendah berbanding dahulu.
Menurut Mohd. Shahar, keadaan tidak menentu yang terpaksa dihadapi peneroka ketika ini membuatkan mereka berasa tertekan dan sukar menguruskan kewangan.
Kata beliau, kerajaan PH dan pengurusan Felda perlu memberi penjelasan kepada para peneroka tentang punca kejatuhan harga buah kelapa sawit serta kelewatan pembayaran elaun sara diri yang tidak pernah berlaku dalam pentadbiran kerajaan terdahulu.
“Cari jalan terbaik untuk menangani masalah yang dihadapi peneroka ini. Jangan sombong, jika perlu tanya pengurusan terdahulu, lakukanlah.
“Felda mesti diuruskan sepertimana diuruskan sebelum ini. Diakui ada kelemahan tetapi tiada dengar pula kelemahan kerajaan terdahulu lewat membuat bayaran atau melupakan sambutan Hari Peneroka yang menunjukkan tidak menghargai jasa mereka,” katanya. - UTUSAN ONLINE