Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peluang itu tidak harus dipersiakan kerana sehingga kini kerajaan dilihat masih  belum menyelesaikan janji yang dibuat antaranya pemansuhan tol, pemansuhan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), menurunkan kos sara hidup dan sebagainya. 
"Justeru, adalah penting bagi rakyat memberikan isyarat dengan menyokong pembangkang (BN). Rakyat harus memberi kata dua kepada jika tidak melaksanakan janji, mereka boleh ubah kerajaan," katanya. 
Beliau berkata demikian dalam Program Diskusi N.49 bertajuk 'Calon Suara Rakyat' yang disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook UMNO Online, malam ini. 
Turut serta dalam program itu ialah calon BN PRK DUN Sungai Kandis, Datuk Lokman Noor Adam. 
Pada masa sama, Ismail yang juga Naib Presiden UMNO itu mengakui sekiranya Lokman memenangi kerusi DUN itu dalam PRK berkenaan, ia tidak mengubah kedudukan Pakatan Harapan sebagai kerajaan negeri. 
Bagaimanapun, kemenangan itu akan menambah bilangan suara pembangkang dalam DUN Selangor yang ketika ini hanya mempunyai lima kerusi. 
"Kita bercakap mengenai soal kualiti, bukan kuantiti. Walaupun jumlah kerusi pembangkang sedikit, tetpai ia berkesan dan lantang menyuarakan isu-isu berkepentingan rakyat," ujarnya. - UTUSAN ONLINE