Unit Komunikasi Strategik UMNO dalam satu kenyataan turut mempersoalkan kenyataan Guan Eng yang menegaskan keyakinan pelabur asing akan kembali dengan ketelusan yang ditonjolkan kerajaan Pakatan Harapan dalam merungkai kes 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) serta penyusunan semula syarikat milik kerajaan (GLC).

Berikut adalah kenyataan penuh berhubung isu tersebut:
1. Sejak Pakatan Harapan membentuk kerajaan yang baharu dua bulan lalu, rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) menjunam dari AS$110 bilion pada April kepada AS$104.7 bilion setakat 29 Jun 2018.
2. Penyusutan sebanyak AS$5.3 bilion atau RM22.2 bilion ini ditambah pula dengan penarikan dana asing kira-kira RM8 bilion di Bursa Saham pada minggu lalu.
3. Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dengan tegas berkata, keyakinan pelabur asing akan kembali dengan ketelusan kerajaan dalam kes 1MDB dan penyusunan semula GLC, iaitu memecat pegawai yang ada dan menggantikan mereka dengan yang baharu.
4. Guan Eng sebenarnya bukan seorang yang realistik apatah lagi seorang ahli ekonomi berpengalaman kerana ternyata beliau gagal mengenal pasti mereka yang selama ini membantu membangunkan ekonomi negara dan meyakinkan pelabur.
5. Guan Eng hanya lebih berminat memecat lantikan Kerajaan Barisan Nasional (BN) dan menggantikan mereka dengan kononnya ‘pakar’ yang tidak pernah terbabit dalam merangka dasar ekonomi negara.
6. UMNO khuatir dan amat bimbang, apakah dasar ekonomi kerajaan baharu sebenarnya? Adakah dengan memperkenalkan lebih banyak legasi untuk golongan kaya dan mendabik dada kononnya mereka lebih baik daripada orang lain?
7. Sedangkan kerajaan baharu ini tidak mahu menerima laporan agensi penarafan antarabangsa seperti Moody’s dan menempelak pula kenyataan Bank Dunia bahawa Malaysia ialah a success story di bawah pentadbiran BN.
8. Kita kesal kerana dalam pada gagal menunaikan segala janji manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kerajaan sekarang berdolak-dalik dengan cuba memesongkan perhatian rakyat kepada tuduhan terhadap bekas Perdana Menteri, di samping mewujudkan tabung khas yang kononnya untuk menampung ‘kebankrapan’ negara.
9. Rejim Tun Dr. Mahathir Mohamad sebenarnya banyak berbohong dan berdolak-dalik sejak memerintah. Rakyat lebih berminat untuk tahu bagaimana mereka menangani kejatuhan ringgit dari RM3.90 kepada RM4.03 bagi setiap dolar AS.
10. Bagaimana mungkin boleh dilaksanakan jika Dr. Mahathir asyik mengitar semula Dasar Pandang ke Timurnya dan ingin mengadakan projek kereta nasional terbaharu yang pasti akan ‘membunuh’ Proton.
11. Legasi bagi rakyat Malaysia ialah sentuhan pemimpin yang dapat memanfaatkan rakyat miskin, misalnya Felda tinggalan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan Klinik 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Datuk Seri Najib Razak.
12. Ura-ura kerajaan untuk mengekalkan Klinik 1Malaysia (tetapi menukar namanya) adalah pengiktirafan terhadap legasi Najib dan kerajaannya.
13. Kepada Dr. Mahathir dan Kabinet serta rakan sekatilnya, Lim Kit Siang, berhentilah berdolak-dalik dan asyik mencari silap orang lain. Lebih baik tumpukan usaha kepada mengotakan janji untuk melupuskan tol dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) atau janji 10 dalam masa 100 hari itu.
14. Kekuatan asas ekonomi negara adalah kukuh ketika mereka mengambil alih kuasa, dan janganlah mereka cerita bohong dan palsu mengenainya, hanya kerana ingin menutup kelemahan sendiri.
15. Sedarlah, rakyat semakin menyedari tipu muslihat ini. Pelabur asing juga sudah semakin tidak yakin dan gusar dengan dasar ekonomi kerajaan. Atau apakah memang menjadi sikap Kerajaan PH lebih suka mereka-reka cerita bagi menutup kelemahan mereka atau mereka sudah terlebih janji sehingga sudah tidak terdaya untuk melaksanakannya? - UTUSAN ONLINE