Berdasarkan keputusan tidak rasmi Zahid mendahului dengan 91 undi mengatasi Khairy Jamaluddin yang memperolehi 72 undi, manakala Tengku Razaleigh Hamzah hanya mendapat 28 undi.
Mohamad pula memperolehi memperolehi 103 undi menewaskan pencabar tunggal Tan Sri Annuar Musa dengan 88 undi.
Keputusan itu sekali gus menjulang Ahli Parlimen Bagan Datuk itu yang sebelum ini menjalankan tugas pemangku Presiden UMNO sebagai Presiden UMNO kelapan untuk tempoh 2018-2021.
Dua lagi pencabar kerusi berkenaan yang kurang dikenali iaitu ahli UMNO Bahagian Bandar Tun Razak Mohamed Iqbal Maricair dan ahli UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Mohd Yusof Musa@Jamaluddin, gagal memperoleh sebarang undi.
Mesyuarat perwakilan UMNO yang bermula hari ini membabitkan 191 bahagian dengan agenda utama hanya untuk memilih barisan kepemimpinan peringkat Bahagian dan Majlis Tertinggi bagi sesi 2018-2021.
Gandingan Ahmad Zahid dan Mohamad begitu signifikan bagi memulihkan kembali UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Pemilihan kali ini juga amat bersejarah kerana sejak 1988 susulan tidak ada pertandingan untuk jawatan presiden dan timbalan presiden. Kali ini, ia dibuka untuk dipertandingkan.
Ahmad Zahid, 65, adalah Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas presiden parti mempunyai pengalaman luas lebih 30 tahun dalam bidang politik selain berpengalaman luas dalam bidang perniagaan perbankan.
Beliau juga pernah menjawat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri ketika era pentadbiran Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri.
Beliau kemudian menyandang jawatan Menteri Pertahanan (2009-2013) sebelum bertukar ke portfolio sebagai Menteri Dalam Negeri sejak 16 Mei 2013.
Berkelulusan Doktor Falsafah dalam jurusan Komunikasi dari Universiti Putra Malaysia (UPM), anak kelahiran Bagan Datuk, Perak itu mula menjadi anggota Kabinet sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (2008-2009) semasa pentadbiran Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Sebelum menjadi anggota Kabinet, beliau pernah berkhidmat dalam pentadbiran kerajaan sebagai Timbalan Menteri Pelancongan pada tahun 2004 dan Timbalan Menteri Penerangan (2006-2008).
Permulaan karier politiknya bermula 1984. Ketika itu, beliau bergiat aktif sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bagan Datuk sehinggalah terpilih sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia bagi tempoh 1996 hingga 1999.
Pada 1991, beliau dilantik sebagai anggota Dewan Negara selama satu penggal.
Bagi jawatan Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendahului pencabar lain dengan 16 undi, sehingga jam 9.47 malam tadi.
Beliau disusuli Datuk Seri Mahdzir Khalid (12 undi), Datuk Seri Johari Abdul Ghani (15 undi), Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (13 undi), Datuk Tajuddin Abdul Rahman (12 undi) dan Datuk Seri Ahmad Said (satu undi).
Bagi calon lain yang bertanding jawatan berkenaan iaitu Sheikh Razali Sheikh Hamad masih gagal meraih sebarang undi buat masa ini. - UTUSAN ONLINE