Tinjauan Kosmo! sejak pukul 7.30 hingga 10 pagi mendapati tiada seorang pun ahli gabungan itu yang kelihatan atau berhimpun di pekarangan Menara KBS atau kawasan sekitarnya.

Sejak malam tadi, tular di laman sosial yang mengatakan satu perhimpunan aman akan diadakan oleh gabungan berkenaan sebagai tanda bantahan terhadap tindakan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang tidak mengakui telah melantik seorang pegawai khas daripada golongan gay. 
Dalam mesej itu menyatakan bahawa perhimpunan akan diadakan di hadapan pekarangan Menara KBS pada pukul 8 pagi ini.
Jumaat lalu, Syed Saddiq menafikan dakwaan beliau melantik seorang pejuang golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual  (LGBT) untuk memegang jawatan di kementerian itu.
Menurutnya, sehingga kini belum ada seorang pun pegawai dilantik secara rasmi di KBS termasuk setiausaha politik, setiausaha akhbar dan pegawai tugas-tugas khas.
Syed Saddiq berkata demikian bagi menjawab bantahan sesetengah pihak berhubung pelantikan penganjur acara berbuka puasa Big Iftar 2017, Numan Afifi sebagai pegawainya.
Numan merupakan pentadbir bagi kumpulan WhatsApp untuk menyelaras jadual kerja Syed Saddiq dan pihak media selepas Ahli Parlimen Muar itu memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.
Bagaimanapun, pelantikan itu mencetuskan kritikan sesetengah pihak yang mendakwa individu yang menyokong gerakan LGBT tidak sepatutnya dilantik sebagai pegawai di kementerian berkenaan. - K! ONLINE