Biar apa kesalahan yang telah beliau lakukan, pengarah siri Mak Cun itu menerusi entri di media sosial miliknya memberitahu, air matanya menitis menyaksikan bangsa Melayu berbalah antara satu sama lain.

“Saya tidak kisah dianggap terlalu berharap agar Najib ditangkap, malah rela dikatakan biadap atas penangkapannya.
“Ini kerana, saya berdoa supaya penangkapan beliau dapat menghalang bangsa kita terus berteka-teki dan membuat dosa dalam membuat sebarang spekulasi liar yang boleh menimbulkan fitnah.
“Sejahat manapun beliau, perlu diingat bahawa Najib pernah memimpin negara kita dan sejarah itu tidak boleh dipadam,” hujah Erma memetik sebahagian kapsyen yang dimuat naik di laman Instagram miliknya.
Bahkan, aktivis drama serta penggiat seni tersohor itu juga mengharapkan agar penahanan dan pendakwaan Najib akan menoktahkan segala tohmahan atau tuduhan yang bertali arus dihalakan ke arah beliau.
“Walaupun ujian ini perit untuk diterima oleh ahli keluarga beliau serta penyokong setia Barisan Nasional, namun saya berharap di sinilah berakhirnya perbuatan fitnah memfitnah, tuduh menuduh, maki memaki, hina menghina, dendam mendendam dan seumpama dengannya,” tegasnya.
Tambahnya, dia cuma mampu berdoa agar Allah tunjukkan segala kebenaran yang adil dan saksama, lantas membuka mata seluruh rakyat Malaysia.
“Saya mohon kepada rakan-rakan semua dan seluruh warga, hentikanlah memperlekeh dan menghina beliau kerana itu bukanlah budaya kita.
“Kata-kata ini bukanlah atas tiket mana-mana parti, tetapi kata-kata sebagai seorang manusia kepada manusia yang lain.
“Jika ada sahabat yang melakukan khilaf, maka genggamlah tangannya dengan erat serta tegurlah kekhilafannya.
“Allah telah menjanjikan kebahagiaan buat seseorang yang berkasih sayang sesama saudaranya. Ampun dan maaf daripada saya,” tukisnya mengakhiri kata. - UTUSAN ONLINE