Dalam ceramah anjuran gabu­ngan pembangkang PKR di Padang Sera, walaupun terbatuk-batuk sehingga enam kali, Dr. Mahathir menyerang Pas dengan menuduh parti itu menjual agama demi memancing undi umat Islam.
“Mana dapat duit (Pas), UMNO bagi sebab kawan baik, dulu kata UMNO kafir tapi bila UMNO bagi duit dia Islam balik la.
“Nak jadi Islam tak payah ucap syahadah, tak payah kata la ilaha illallah muhammadur rasulul­lah, kata sahaja duit, dapat duit boleh jadi Islam,” katanya ketika berucap dalam ceramah gabu­ngan pembangkang PKR di Padang Sera malam semalam.
Sebelum ini, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berulang kali menafikan Pas menerima wang daripada UMNO.
Bagaimanapun, dalam ke­ran­cakan bekas Perdana Menteri itu mengutuk Pas, hujan mula turun pada pukul 11.34 malam dan orang ramai terutama warga emas mula beransur pulang.
Menurut calon PKR bagi kerusi Parlimen Langkawi itu, dakwaan bahawa Pas menerima duit daripada UMNO itu adalah berdasarkan cerita daripada Presiden PAN, Mohamad Sabu.
“Kalau dengar cerita Mat Sabu kita nanti ketawa, dia kata dulu Pas miskin, dia kena panjat pokok kelapa nak pasang bendera sampai bulu dada tak sempat tumbuh.
“Tapi sekarang sudah ubah, Pas duit banyak upah orang suruh pasang bendera,” katanya.
Dalam pada itu, Dr. Mahathir mendakwa Pas kini berada dalam keadaan menyedihkan kerana telah berpecah.
“Bulan (Pas) ini sedih sebab sudah berpecah dua, dulu dia (Pas) macam seketul batu, dia sudah pecah menjadi PAN malah ba­nyak sudah keluar parti termasuk anak Nik Aziz (Nik Omar) sebab tahu Pas bukan lagi seperti zaman bapanya,” katanya.
Oleh itu kata Dr. Mahathir, pe­ngundi tidak perlu memberi undi kepada Pas yang kini diibaratkan sebagai sebuah parti yang kosong semata-mata.