Kit Siang berkata, beliau tidak pernah sekali-kali merendahkan martabat Islam atau agama lain di dunia apatah lagi semua agama mengajar tentang kebaikan.
Jelas beliau, setiap agama juga turut mementingkan semangat keadilan, kebebasan, muhibah serta belas kasihan dan dalam masa yang sama membenci rasuah, kleptokrasi, ketidakjujuran, ketidakadilan dan semua bentuk kejahatan.
“Adakah Najib bersetuju bahawa Islam mesti tidak disamakan dengan kleptokrasi, dan kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu membuktikan pengundi Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama mengikut fahaman masing-masing membenci amalan tersebut?
“Biarlah semua pemimpin UMNO dan Pas menuduh saya menyamakan Islam dengan kleptokrasi supaya rakyat Malaysia akan tahu mengenai keupayaan intelektual dan kegagalan moral mereka,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik ke blog miliknya hari ini.
Semalam, Najib dalam hantaran di Facebook miliknya mempersoalkan kenyataan Kit Siang dengan mendakwa Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu menyamakan Islam dengan kleptokrasi sekiranya BN menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis pada 4 Ogos ini. - UTUSAN ONLINE