KHAIRY JAMALUDINKhairy berkata, majoriti ahli mahu berubah tetapi warlords (Ketua Bahagian) masih pekak dan bisu terhadap suara rakyat.
“Walaupun saya terima keputusan ini dengan hati terbuka, saya mahu UMNO berubah, buang mentaliti feudal.
“Angguk-angguk, tepuk-te­puk, seolah-olah tiada pendirian sendiri,” katanya menerusi Twitter beliau hari ini.
Dalam pemilihan parti yang berlangsung semalam, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dipilih sebagai Presiden dengan 99 undi, manakala, Khairy memperoleh 61 undi dan Tengku Razaleigh Hamzah mendapat 30 undi.
Menurut Khairy statistik undi popular menunjukkan majoriti ahli UMNO mahukan perubahan.
“Cuma, sistem undi bahagian menyebelahi warlords yang mempunyai cengkaman kuat atas bahagian mereka. Ramai diarah, diugut, dipaksa untuk ikut pilihan warlords,” katanya.
Dalam status berasingan, Khairy menzahirkan penghargaan kepada Ahmad Zahid kerana menawarkan beliau jawatan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) tetapi terpaksa menolak kerana mahu memberi sepenuh perhatian terhadap tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen.
Katanya, keputusan itu tidak akan menjejaskan kesetiaannya terhadap UMNO dan sentiasa bersedia untuk membantu parti tersebut.
“Terima kasih Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid kerana menawarkan saya jawatan Setiausaha Agung BN tadi. Saya memberi tahu beliau saya tidak mahu pegang apa-apa jawatan tinggi parti.
“Saya memberi fokus kepada tugas sebagai Ahli Parlimen. Sedia bantu dan tetap bersama UMNO,” katanya.
Dalam pada itu, Khairy yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO turut memuat naik senarai penjumlahan undi calon-calon yang merebut jawatan tertinggi parti itu yang dikeluarkan oleh Ibu pejabat UMNO Pusat.
Senarai itu menunjukkan Ahmad Zahid mendapat 39,197 undi perwakilan manakala Khairy mendapat 32,592 undi, Tengku Razaleigh memperoleh 20,462 undi manakala Mohamed Iqbal Maricair (124 undi) dan Mohd. Yusof Musa @Jamaludin (92 undi).