.... Batal program haji 1MDB: Kerajaan PH tidak prihatin, aniaya jemaah | AAKJ




30 JULAI: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang tetap berkeras dengan pendiriannya untuk menghentikan serta merta program tajaan haji Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dilihat terus menganiaya bakal jemaah haji ini.

Meskipun terdapat rayuan daripada wakil rakyat Barisan Nasional (BN) untuk meneruskannya walaupun menggunakan dana dan wang sendiri namun kerajaan PH menerusi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa tetap tidak berganjak dengan keputusan yang diambil atas alasan tanggungan kos dan kes siasatan berkaitan 1MDB yang masih lagi belum selesai.
Ketika sesi soalan lisan di Dewan Rakyat Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan merayu agar kerajaan mempertimbangkan semula keputusan itu agar 1,200 jemaah haji yang sepatutnya dijadualkan menunaikan haji tahun ini dapat menunaikan rukun Islam kelima itu pada musim ini.

“Saya bagi pihak 1,200 yang telah menerima surat tawaran daripada mantan perdana menteri pada ketika itu, mereka sebenarnya sudah bersedia untuk menunaikan haji, dan oleh kerana 1MDB ini masih lagi dalam siasatan seperti yang dinyatakan belum ada ketentuan yang pasti.
“Apa salahnya kalau kita berikan kuota untuk mereka teruskan pergi menunaikan haji, kemungkinan mereka boleh pergi dengan dana sendiri ataupun daripada keluarga mereka membantu.
“Kerana yang kita tawarkan itu adalah kepada imam-imam masjid dan pengerusi JKKK yang tidak pernah menunaikan haji sebelum ini,” kata Ahmad.
Mujahid dengan ego menolak rayuan tersebut dengan mendakwa tidak adil untuk kerajaan meneruskan program itu kerana jemaah haji tersebut mengambil kuota jemaah lain.
“Walaupun mereka kata nak bayar sendiri, atas sebab semuanya bermula dari yayasan dan yayasan masih dibawah siasatan kita terus mengatakan tidak teruskan atas sebab tersebut, kuota itu pun kita ambil kuota orang lain, jadi tidak adil bagi kita.
“Kami mewarisi keputusan terdahulu dan terpaksa ambil sikap baru atas isu ini, program tersebut tidak dilaksanakan pada 2018 kerana sumber dana daripada pihak berkaitan 1MDB yang masih dalam siasatan pihak berkuasa,” katanya.
Jawapan Mujahid itu membuatkan Bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim bingkas bangun bagi bertanyakan soalan tambahan sambil membidas kenyataan Mujahid kononnya kuota 1,200 adalah dari jumlah asal kuota yang diperuntukkan Arab Saudi kepada Malaysia.
Tegas Azeez kuota jemaah haji tajaan Yayasan 1MDB adalah kuota khas yang diberikan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bukanlah seperti yang didakwa.
“Kuota yang dinyatakan diambil daripada 30,290 orang itu tidak tepat. Sebenarnya untuk kuota bagi tujuan ini memang (ahli Parlimen) Pekan (Najib) telah mendapat kelulusan khas,” katanya.
Mujahid selaku menteri bertanggungjawab hal ehwal Agama secara sinis menegaskan keputusan itu kekal memandangkan siasatan turut melibatkan yayasan berkenaan.
“Saya ingin tegaskan sekali lagi kita telah buat keputusan bahawa semua yang disebut tadi di atas sifat Yayasan 1MDB. Jadi oleh kerana ia termasuk dalam siasatan, maka bila kita hentikan peruntukan untuk jemaah haji dari yayasan, ini bermakna keseluruhan nama 1,200 itu sudah pasti terbatal kesemuanya,” katanya.
Sejak dilaksanakan pada 2011, sehingga 2017, seramai 5,711 jemaah haji menunaikan ibadah tersebut dengan jumlah tajaan sebanyak hampir RM57 juta. – Oleh AIDIL SYUKRI


Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top