Anwar dalam satu kenyataan berkata, sekiranya mandat diperoleh daripada akar umbi parti di seluruh negara, beliau akan mengemudi PKR selaku Presiden selepas selesai Kongres Nasional Keadilan pada November ini.
“Sejak pemilihan PKR pada 2007, saya telah diminta untuk memimpin parti selaku Presiden, namun sekatan yang dikenakan oleh Pendaftar Pertubuhan pada ketika itu ternyata menjadi kendala, malah lebih parah lagi membawa implikasi pembubaran parti. Demi maslahah lebih besar, saya memilih untuk berundur sementara Wan Azizah kekal selaku Presiden.
“Setelah berbincang dengan Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan kepemimpinan serta mengambil kira segenap pandangan dan keperluan demi kelangsungan part, dengan penuh kesedaran atas prinsip iltizam bil jamaah, saya menawar diri untuk bertanding jawatan Presiden,” katanya dalam kenyataan menerusi Twitter, hari ini. - UTUSAN ONLINE