.... Annuar ramal PH ‘tumbang’ sebelum penggal tamat | AAKJ



KUALA LUMPUR: Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh) meramalkan kerajaan Pakatan Harapan tidak akan dapat bertahan sehingga habis penggal ini.
Beliau berkata sejarah dunia membuktikan beberapa parti pemerintah baru tersungkur selepas mengalahkan parti pemerintah lama seperti Parti Janata (JP) dan Parti Demokrasi Jepun (DPJ).
JP tumbang 3 tahun selepas menewaskan Parti Kongres Kebangsaan India, manakala DPJ tumbang 3 tahun selepas menewaskan Parti Demokrasi Liberal.
“Adakah kerajaan PH akan mengalami nasib sama? Kita belum tahu lagi berapa lama, tetapi saya ramalkan tak sepat habiskan penggal, kerajaan mungkin saja bertukar,” katanya ketika membahaskan titah Agong hari ini.
JP memerintah dari 1977 hingga 1980 dan tumbang kerana pertelingkahan dalaman dan perbezaan ideologi menyebabkan kerajaannya tidak mampu menangani masalah negara dengan berkesan.
DPJ pula memerintah dari 2009 hingga 2012, tetapi terbubar kerana reformasi yang diperjuangkannya tidak dapat dilaksanakan kerana kekangan ekonomi dan pengundi.
Annuar berkata dia masih belum nampak kerajaan berusaha menunaikan janji-janji pilihan rayanya.
“Hari ini rakyat kembali resah apabila banyak janji tidak ditunaikan. Rakyat gusar apabila pembawaan kerajaan masih dilingkungi dengan sentimen dan usaha membalas dendam serta terbawa-bawa pendekatan kosmetik.
“Rakyat sebenarnya menunggu kerajaan membawa perubahan lebih baik kepada negara. Kita ingin bertanya kepada kerajaan apakah janji dan sasaran untuk setidak-tidaknya mengekalkan prestasi yang telah ditinggalkan kerajaan BN,” katanya.
Annuar turut membidas Majlis Penasihat Kerajaan yang didakwanya melampaui kuasa menteri, dan mendesak kerajaan membubarkannya bagi menghormati prinsip pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang dan kedudukan ahli Kabinet.
“Datuk Seri Anwar Ibrahim kata ada ahli majlis yang kredibilitinya boleh dan pernah disoal. Macam mana kuasa menteri diperguna sedemikian rupa kerana ia menunjukkan penghinaan kepada menteri.
“Ini menandakan unsur “dictatorial” disemai dalam kerajaan PH apabila ‘one man show’ telah berlaku,” katanya.
RSN Rayer (PH-Jelutong) bagaimanapun tidak berpuas hati dengan istilah ‘dictatorial’ dan mendesak Annuar menarik balik kata-katanya yang didakwa ditujukan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Saya ulang sekali lagi, keadaan itu menjurus kepada tanda pentadbiran bersifat ‘dictatoria’. Saya tak sebut diktator tapi ‘dictatorial leadership’,” kata Annuar.
Speaker Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof menerima penjelasan Annuar.



Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top