.... 'Anak tiri Najib hadir ke SPRM kali ketiga' | AAKJ



ANAK tiri kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Riza Aziz tiba di Ibu Pejabat SPRM pada jam 11.10 pagi hari ini bagi menyambung keterangan berhubung skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Riza hadir ke SPRM untuk kali ketiga termasuk hari ini untuk memberi keterangan kepada agensi penguat kuasaan itu.
Turut menemaninya adalah peguam Datuk K Kumaraendran.
Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Red Granite Pictures iaitu syarikat penerbitan filem Hollywood hadir ke SPRM sejak Selasa lalu bagi membantu siasatan skandal berkenaan.
Semalam, Riza memberi keterangan selama enam jam kepada SPRM, selain sembilan jam pada Selasa lalu.
Sebelum ini, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat mendakwa sejumlah AS$64 juta diselewengkan daripada 1MDB dipindah kepada Red Granite untuk membiayai penerbitan beberapa filem Hollywood termasuk The Wolf Of Wall Street yang dibintangi Leonardo Dicaprio.
Riza juga dituduh menggunakan wang itu untuk membeli hartanah mewah daripada ahli perniagaan Low Taem Jhow atau Jho Low.
SPRM sejak akhir Mei lalu memanggil beberapa individu bagi melengkapkan siasatan berkaitan syarikat pelaburan strategik kerajaan itu termasuk Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.
Najib memberi keterangan pada 22 dan 24 Mei lalu, manakala Rosmah pula pada 5 Julai.
Semalam, Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan melakukan pecah amanah berkaitan kes SRC International Sdn Bhd dan satu pertuduhan menyalahgunakan jawatannya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu membabitkan RM42 juta.
Sebelum ini, Pasukan Petugas Khas 1MDB membekukan lebih 408 akaun termasuk akaun UMNO negeri dan pusat membabitkan jumlah RM1.1 bilion bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan berhubung dakwaan bahawa akaun-akaun berkenaan menerima dana daripada 1MDB.


Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top