Ahli PKR, Mohamad Azlan Hamid, 25, mendakwa terdapat beberapa calon yang menawarkan diri untuk bertanding merebut jawatan tertinggi parti tetapi tidak menetapi syarat yang ditetapkan.
“Ada calon mendakwa kononnya mendapat surat izin bertanding dari pejabat presiden sedangkan tidak sampai 12 bulan menyertai parti. Perkara ini seolah-olah ada perancangan jahat yang berlaku di pejabat Setiausaha Agung PKR.
“Apakah surat kebenaran bertanding seperti yang didakwa itu sudah dibincangkan dalam mesyuarat biro politik PKR? Justeru, kami sebagai ahli akar umbi merasakan ada usaha sabotaj dalam pemilihan kali ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohamad Azlan juga mendakwa kepincangan itu dilakukan oleh Setiausaha Politik kepada seorang menteri.
“Saya minta perkara ini disiasat oleh pejabat presiden parti sebab bagaimana ‘dia’ boleh mendakwa mendapat surat pelepasan kononnya boleh bertanding?
“Jadi ahli PKR pun baru lagi, sudah berbagai-bagai tipu helah digunakan. Malah, banyak sangat keraguan yang berlaku disebabkan persaingan sengit yang berlaku kali ini,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE