.... Wanita BN minta kepimpinan bincang kaedah terbaik bela rakyat | AAKJ



Wanita BN minta kepimpinan bincang kaedah terbaik bela rakyat
Beliau percaya keadaan tersebut tidak akan mematahkan semangat ahli-ahli UMNO dan menyeru semua mereka supaya turut menerima secara baik keputusan Sarawak itu.
KUALA LUMPUR: Wanita Barisan Nasional (BN) meminta pucuk kepimpinan parti berkenaan untuk membincang kaedah terbaik agar dapat menjaga dan membela kepentingan rakyat di dalam Dewan Rakyat pada masa akan datang.

Penolong Setiausaha Wanita BN Datuk Noraini Ahmad berkata keputusan empat parti komponen di Sarawak keluar daripada BN akan memberi kesan kepada parti tersebut secara keseluruhan dan kedudukannya sebagai pembangkang di Dewan Rakyat.

"Kita perlu berpolitik secara matang dan menerima secara terbuka keputusan yang diumumkan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Abang Johari Tun Openg itu.
"Namun kita berasa sedih kerana ia juga akan memberi kesan kepada kedudukan BN di Dewan Rakyat selepas ini, apa lagi GPS (Gabungan Parti Sarawak) telah mengumumkan akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) ," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Selasa.

Semalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) sebulat suara mengumumkan keluar daripada BN dan akan mewujudkan GPS.

Noraini berkata walaupun pahit dan rasa dipinggirkan dalam keadaan yang sukar ketika ini, BN akan terus mencari kekuatan untuk bangkit semula.

Katanya beliau percaya keadaan tersebut tidak akan mematahkan semangat ahli-ahli UMNO dan menyeru semua mereka supaya turut menerima secara baik keputusan Sarawak itu.

--BERNAMA


Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top