Sebagai manusia biasa Kalam tidak terlepas daripada melakukan kesalahan, kesilapan serta kekhilafan. Mohon maaf sekali lagi daripada Kalam dan kepada mereka yang masih ada ibu bapa jenguklah mereka, ziarahlah mereka pada hari yang mulia ini.
Jangan nanti di saat mereka dipanggil mengadap Ilahi, barulah kita menyesal. Ketika itu penyesalan hanyalah sia-sia. Begitu juga kepada mereka yang ‘putus saudara’, inilah masa terbaik untuk saling bermaaf-maaf dan berdamai.
Tidak guna simpan dendam. Takut-takut nanti segala amal ibadat yang dilakukan sebelum ini seperti solat, puasa, zakat, sedekah dan haji tidak diterima oleh Allah SWT hanya semata-mata kita memutuskan silaturahim.
Malah al-Quran dan hadis Rasulullah SAW sendiri ba­nyak menyentuh betapa pentingnya memelihara silaturahim. Dalam hal ini Rasulullah pernah bersabda dalam satu hadis yang cukup masyhur:’’Tidak masuk ke syurga pemutus silaturahim.”-Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Cuba kita amati intisari hadis tersebut terutama tentang balasan yang bakal diterima bagi pemutus silaturahim. Mesej Rasulullah cukup jelas iaitu mereka yang memutuskan silaturahim tidak akan masuk syurga. Jika syurga bukan tempatnya, agak-agak di manakah tempat paling sesuai untuk golongan ini? Kalam yakin kita semua tahu akan jawapannya.
Oleh itu, mohonlah perlindungan daripada Allah agar kita tidak termasuk dalam golongan ini. Yang penting, jangan sesekali menjadi pemutus silaturahim kerana kesannya amat buruk terutama ketika kita berada di alam akhirat kelak.
Berbalik kepada usaha memelihara dan menyambung silaturahim khususnya pada Aidilfitri ini, Kalam amat mengharapkan tiada antara kita yang sengaja membuka topik-topik politik ketika berkunjung rumah sanak saudara atau jiran tetangga.
Bagi Kalam, kisah tentang politik ini perlu dielakkan kerana ia boleh mencetuskan perbalahan. Masakan tidak, si A penyokong tegar parti keris manakala si B penyokong tegar parti bunga. Apabila bercakap tentang politik, ma­sing-masing enggan mengalah. Akibatnya mereka bergaduh sesama sendiri.
Dengan kata lain sambutan Aidilfitri yang sepatutnya diraikan dengan penuh kasih sayang dan persaudaraan akhirnya menjadi medan perbalahan disebabkan politik. Sudah-sudahlah kita berpolitik.
Itu belum lagi jenis bangsa yang kuat menyindir dalam bab-bab politik ini. Pantang bincang satu isu mulalah sindir-menyindir. Macam-macam dikatakannya hingga membuatkan ada pihak yang berasa kurang selesa. Itu yang kadang-kadang berlaku perbalahan hingga putus saudara atau sahabat.
Seorang sahabat Kalam pernah mengadu yang dia pernah menjadi bahan sindiran bapa saudaranya semata-mata bekerja dengan seorang pemimpin UMNO pada Aidilfitri tahun lalu. Ketika itu dia berkunjung rumah kerabatnya yang lain. Enggan memanjangkan kisah, dia kemudian mengambil keputusan pergi ke rumah saudaranya yang lain untuk beraya.
Seorang lagi sahabat pernah berhadapan dengan situasi sama apabila ada salah seorang abang sepupunya mempersoalkan kerjanya sebagai wartawan (akhbar arus perdana). Juga berlaku Aidilfitri tahun lalu. Pagi-pagi raya lagi, dia kena sindir. Disuruhnya sahabat Kalam ini berhenti dan mencari kerja lain. Katanya kepada Kalam, memang dia merasa marah, kecewa dan jauh hati.
Sepatutnya hari raya kata sahabat ini, medan untuk masing-masing bertanya khabar dan bukan tempat berbalah. Berdasarkan kedua-dua kisah ini dapatlah Kalam simpulkan, hari raya tidak seharusnya dicemari dengan cerita-cerita politik yang dilihat cenderung ke arah perbalahan dan persengketaan.
Harus diingat, antara matlamat utama Aidilfitri adalah menyuburkan lagi hubungan silaturahim sesama insan dan jika kita gagal berbuat demikian, hari raya yang di­sambut kali ini tiada maknanya. Renung-renungkanlah.