UMNO masih ada tanggungjawab, tugas besar - Ahmad Mua’adzam
Ahmad Mua’adzam Shah Ya’akop


Walaupun UMNO tidak berjaya mengekalkan kuasa pentadbiran selepas tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, ia tidak bermakna prinsip perjuangan yang menjadi teras perjuangan parti itu tidak lagi relevan kerana UMNO masih lagi mendapat kepercayaan serta keyakinan rakyat khususnya orang Melayu.



Justeru, calon Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Ahmad Mua’adzam Shah Ya’akop menyeru ahli-ahli serta kepimpinan di semua peringkat parti khususnya di bahagian berkenaan supaya tidak patah semangat sebaliknya terus memastikan UMNO kembali kuat dan menjadi juara dalam mendepani masalah rakyat.
“UMNO tidak menjadi kerajaan pada hari ini bukanlah penamat kepada perjuangan membela agama, bangsa dan tanah air. Sebaliknya kita (ahli dan kepimpinan UMNO semua peringkat) harus menjadikannya teladan untuk berusaha lebih baik dan kembali kepada asas perjuangan parti,” katanya ketika ditemui di Bangunan UMNO Selangor, di sini.
Tambah Ahmad Mua’adzam, UMNO masih memiliki tanggungjawab besar bukan sahaja kepada kepada ahli serta para penyokong parti semata-mata bahkan kepada seluruh rakyat Malaysia sekaligus memastikan hak mereka tidak dianaktirikan Kerajaan Persekutuan yang dipimpin Pakatan Harapan (PH) ketika ini.
Malah, UMNO terutamanya di bahagian Shah Alam jelasnya akan terus memainkan peranan sebagai pembangkang bertanggungjawab yang akan memantau perjalanan pentadbiran kerajaan Selangor selain memastikan segala janji-janji PH dalam manifesto pilihan raya umum lalu dilangsaikan kepada rakyat.
Ketika ditanya mengenai pencalonannya merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Ahmad Mua’adzam menyatakan beliau mahukan melaksanakan perubahan dalam parti sekaligus membetulkan persepsi rakyat terhadap UMNO.
Beliau yang mencabar penyandang jawatan itu, Datuk Azhari Shaari pada pemilihan kali ini menyifatkannya sebagai satu persaingan di peringkat keluarga tanpa sebarang unsur-unsur perpecahan serta emosi. - UTUSAN ONLINE.