.... UMNO mahu penyelesaian terbaik bukan PRN | AAKJ



ALOR SETAR: UMNO memberi bayangan mahu mengelak berlakunya Pilihan Raya Negeri (PRN) berhubung kemelut pelantikan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, demi kepentingan rakyat.
Perkara itu dinyatakan Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyerahkan keputusan terbabit dibuat sendiri UMNO Kedah yang dipimpin Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.
Beliau yang juga calon Presiden UMNO berkata, buat masa ini, pihaknya tidak mempunyai pendirian rasmi tetapi sedia membuka pintu rundingan kepada Pakatan Harapan dan PAS demi rakyat.
"Saya sudah berbincang dengan Ahmad Bashah dan dua daripada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) maka kita akan buat keputusan terbaik demi kepentingan bersama.
"Kami tidak menolak kemungkinan berlakunya PRN, tetapi seboleh-bolehnya UMNO mahu mencari penyelesaian lain yang baik dengan semua pihak
"Bagaimanapun, saya yakin bahawa pendirian negeri mesti dihormati malah UMNO Kedah sudahpun memberi input maka kita serahkan kepada UMNO Kedah membuat keputusan," katanya selepas menghadiri majlis jamuan Hari Raya Aidilfitri UMNO Kedah di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemelut pelantikan Speaker DUN Kedah, yang berlarutan apabila terdapat ketiadaan kata sepakat antara Pakatan Harapan, PAS dan BN.
Media hari ini melaporkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mendedahkan pihaknya tidak boleh menerima cadangan calon Speaker DUN yang dikemukakan PAS kerana individu terbabit bukannya ADUN.
Beliau berkata, adalah mustahil kerana sekiranya calon itu diterima, maka bilangan pembangkang di dalam dewan akan menjadi 19, berbanding 18 di pihak kerajaan.
Terdahulu, Ahmad Zahid yang tiba jam 3.30 petang mengadakan pertemuan tertutup dengan sebahagian kepemimpinan UMNO bahagian hampir dua jam sebelum menghadiri majlis jamuan Aidilfitri.
Turut diadakan sesi memperkenalkan calon jawatan tertinggi UMNO pada pemilihan Sabtu ini yang turut dihadiri calon Timbalan Presiden iaitu Datuk Mohamad Hassan dan Tan Sri Annuar Musa serta beberapa calon Naib Presiden, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Datuk Seri Johari Ghani serta Ahli Majlis Tertinggi.

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top