LIM GUAN ENGMenteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, keputusan bangsa sedia ada di TRX yang sudah melabur berbilion ringgit.

“Suntikan tambahan RM2.8 bilion akan meningkatkan jumlah besar peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada TRXC ke RM6.5 bilion. Penyiapan TRX akan membolehkan projek tersebut mencapai nilai penuhnya yang sekurang-kurangnya RM7.6 bilion.
“Ini akan membolehkan TRXC membayar balik hutang dan menjana kembali dana yang telah diselewengkan oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Malah Kerajaan Persekutuan juga yakin penerusan projek ini akan meraih lebihan kecil yang akan menampung pelaburan lepas,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum ini mengumumkan bahawa TRX merupakan antara projek yang akan dikaji untuk mengurangkan perbelanjaan awam terutama dengan keadaan hutang negara yang dikatakan berjumlah RM1 trilion atau 65 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).
TRXC adalah satu syarikat milik penuh Kementerian Kewangan yang sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Real Estate Sdn. Bhd. iaitu satu anak syarikat milik penuh 1MDB.
Atas nasihat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, TRXC telah dipindah milik kepada Kementerian Kewangan pada 31 Mac tahun lalu.
Pemindahan tersebut dibuat kerana TRXC menghadapi masalah menjalankan urusniaga hartanah dan mengalami kesukaran mendapatkan pembiayaan bank disebabkan oleh hubung kait syarikat itu dengan 1MDB.
Untuk pengetahuan umum, TRXC adalah pemilik dan pemaju induk dua projek hartanah yang sebelum ini diletakkan di bawah kawalan 1MDB. Dua projek tersebut merangkumi TRX, seluas 28.3 hektar dan Bandar Malaysia seluas 196.6 hektar.
Sejak tahun 2012, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan RM3.68 bilion melalui jaminan pinjaman, pemberian pendahuluan, pemindahan dana dan pembelian tanah daripada TRXC.
Daripada jumlah RM3.68 bilion tersebut, RM3 bilion telah diselewengkan oleh 1MDB dan sebahagian besarnya digunakan untuk membayar hutang yang telah mengakibatkan TRXC kekurangan dana untuk memenuhi tanggungjawabnya sebagai pemaju induk projek TRX.
Sementara itu, Guan Eng berkata, beliau telah mengarahkan pihak pengurusan TRXC yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azmar Talib dan Ketua Pegawai Operasi, Tan Hwa Min untuk membuat laporan kepada panel penyiasatan 1MDB dan kepada polis tentang penyelewengan dana RM3.1 bilion oleh 1MDB.
“Kementarian Kewangan akan memastikan bahawa suntikan dana terbaharu ini akan dibelanjakan secara berhemat dan kepentingan pembayar cukai serta kepentingan pelabur terus dibela,” katanya. - UTUSAN ONLINE