Menurut Annuar, UMNO tidak pernah mengeluarkan kenyataan tentang kegagalan rakan parti komponen namun tindakan Ka Siong seolah-olah memijak kawan yang terjatuh.
Katanya, sebagai jawapan balas kepada kenyataan Ka Siong, kata-kata yang ingin beliau sampaikan pula ialah, era UMNO menanggung dan mengendong MCA yang sudah lama lumpuh juga sudah tamat.
Hal ini kerana kata beliau, sejak Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), MCA seolah-olah telah diserang angin ahmar dan hilang upaya sehingga perlu dipapah UMNO dan diberi tempat empuk dalam kerajaan dengan harapan parti itu akan pulih semula.
"Apa yg terjadi? Bukan saja mereka tidak pulih, malah mereka hilang upaya sama sekali. Mereka bukan saja gagal dengan rakyat, malah gagal menawan hati ahli sendiri.
"Hingga ke saat akhir di mana jentera parti (BN) disusun rapi, MCA masih gagal mengenal pasti penyokong dan jentera. Mereka hanya minta di papah dan dikendong," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam wawancara bersama akhbar berbahasa Cina semalam, Ka Siong berkata era MCA menanggung kesalahan UMNO sudah tamat selain membayangkan BN tidak lagi seperti dulu dan MCA kini sudah boleh membuat keputusan sendiri.
Mengulas lanjut, Annuar berkata, beberapa hari sebelum PRU-14, MCA memberi laporan kononnya pengundi Cina menunjukkan peningkatan sokongan kepada BN namun realitinya hanya dua peratus daripada kelompok itu memilih BN
"Ini menjadi faktor terbesar tewasnya berpuluh kerusi yang mempunyai ramai pengundi Cina, termasuk kerusi Presiden MCA sendiri.
"Ternyata MCA telah gagal sama sekali mengekang trend mengundi secara polarisasi kaum yang dipelopori DAP. Akuilah hakikat itu," katanya. - UTUSAN ONLINE