Ahmad Zahid menegaskan, ini kerana pengalaman serta idea Tengku Razaleigh Hamzah dan Khairy Jamaluddin sewajarnya digunakan untuk membangkitkan semula roh UMNO.

AHMAD ZAHID HAMIDI‘‘Jika selepas mandat diberikan kepada saya (sebagai Presiden), saya tidak akan ketepikan mana-mana calon Presiden.
‘‘Dua orang lagi (Tengku Razaleigh dan Khairy), idea dan pe­ngalaman mereka harus digunakan untuk bangkitkan semula roh UMNO,’’ katanya menerusi program 100 hari Malaysia Baharu Astro Awani hari ini.
Ahmad Zahid yang merupakan Naib Presiden yang menjalankan tugas-tugas Presiden berkata, selain itu, beliau juga berharap mereka yang terpilih menjadi Timbalan Presiden, Naib Presiden sehingga ke peringkat akar umbi akan bersama-sama de­ngan beliau untuk menjenamakan semula parti itu.
“Kita perlu bersama menggarap kekuatan minda dan segala tenaga bukan hanya menjenamakan semula UMNO tetapi sebagai sebuah parti yang lebih besar lagi.
“Kita tidak lagi boleh bernostalgia atau bersedih, masa itu te­lah berlalu,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai warlords dan politik wang yang dikatakan menjadi masalah kepada UMNO, Ahmad Zahid berkata, rakyat akan kembali mempercayai UMNO jika kedua-dua masalah itu berjaya ditangani.
“Apabila struktur pemilihan telah bertukar daripada pemilihan serentak pada hari yang sama, kita harapkan politik wang tidak lagi berlaku.
‘‘Jika budaya ini dapat dibersihkan 100 peratus kepercayaan rakyat akan kembali dengan segera,’’ katanya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai cabaran debat calon-calon Presiden yang akan di­siarkan oleh Astro Awani, beliau berpendapat, berdebat itu tidak perlu, namun bersedia untuk bersiaran secara langsung dari Bagan Datuk, Perak pada hari berkenaan (29 Jun).
‘‘Saya ingin imbau pendapat calon Timbalan Presiden, Tan Sri Annuar Musa bahawa perdebatan tidak perlu, soal keluarga, soal rumahtangga tidak perlu bawa ke depan jalan tetapi jika dibuat de­ngan niat bukan untuk memecahkan kepada dua atau tiga (kumpulan), saya sanggup bersiaran dari Bagan Datuk,” katanya.
Tidak akan pinggirkan calon lain jika berjaya jadi Presiden