MAHATHIR MOHAMAD
MAHATHIR MOHAMAD
Perdana Menteri berkata, kerajaan yang baharu ini berjuang bukan kerana pangkat tetapi bagi mendirikan sebuah kerajaan yang sanggup berkorban demi agama, bangsa dan negara.
“Kita tidak akan melaksanakan apa-apa yang bertentangan dengan Islam. Kalau kita berpegang kepada ajaran Islam sebenar, ia akan menentukan pentadbiran yang berlandaskan undang-undang serta mengutamakan rakyat.
“Kita juga tidak akan mendiskriminasi agama-agama lain kerana Islam mengajar untuk berpegang kepada keadilan. Ini disebut dalam Al-Quran dan ini pendirian kita, insya-Allah,” katanya ketika berucap pada Majlis Iftar PPBM di sini hari ini.
Yang hadir sama, isteri Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dan dan Presiden PPBM merangkap Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Turut hadir sama, Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir merangkap Menteri Besar Kedah, Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu dan Menteri Besar Johor, Osman Sapian.
Pada majlis itu, Dr. Mahathir turut menerima sumbangan keseluruhan RM110,000 daripada tiga syarikat dan dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk disalurkan kepada Tabung Harapan Malaysia (THM). - UTUSAN ONLINE