.... Syed Atif tawar diri bertanding Exco Pemuda UMNO | AAKJ



Syed Atif Syed Abu BakarARAU 16 Jun - Ketua Pemuda UMNO negeri, Syed Atif Syed Abu Bakar mengumumkan bertanding jawatan Exco Pemuda UMNO dalam pemilihan parti itu, pada 30 Jun ini. Syed Atif berkata, beliau merasakan ada peranan dan pengalaman yang mampu disumbangkan kepada UMNO dalam situasi parti sedang jatuh dan menghadapi detik-detik sukar.
Katanya, di saat parti jatuh dan menghadapi sebesar-besar ujian yang tidak pernah dialami oleh mana-mana kepimpinan UMNO terdahulu, semua pihak perlu merancang kebangkitan semula parti dengan sebaik mungkin.
“Di peringkat Bahagian Arau, ketika pola pengundian di seluruh negara secara umumnya menunjukkan peralihan sokongan pengundi muda kepada Pakatan Harapan, Parlimen Arau mencatatkan pertambahan sokongan yang mendadak daripada saluran pengundi muda.
“Tentunya apa yang dicapai itu adalah hasil daripada pelbagai gerak kerja yang strategik dan kerjasama erat dalam keluarga besar Pemuda UMNO di Bahagian Arau dan di negeri Perlis.
“Dengan sebab itu, saya berhasrat untuk menawarkan diri sebagai Exco Pemuda UMNO dalam pemilihan kali ini untuk terus berkhidmat kepada parti dalam skop yang lebih besar,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tambah Syed Atif, pada pandangan beliau, matlamat gerak kerja pemuda perlu terarah dalam mengembalikan sokongan rakyat kepada Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Pada pilihan raya akan datang, segala gerak kerja haruslah dapat diukur hasilnya dengan pancaindera kita, dan diantara fokus penting adalah perlu membina stok pemidato yang berkesan dan mencukupi di setiap negeri.
“Kita juga perlu sentiasa memperkemaskan penguasaan dalam media-media komunikasi bentuk baru.
Kita perlu akar umbi yang berkualiti sebagai asas kekuatan bermula dengan penekanan kepada pengurusan pemuda cawangan yang menepati kehendak parti.
“Selain itu, kita perlu kurangkan formaliti dan kepayahan birokrasi dalam setiap penganjuran program dan gerak kerja parti,” katanya.- UTUSAN ONLINE



© Utusan Melayu (M) Bhd 

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top