Jurucakap Persekutuan Bola Sepak Nigeria (NFF) memberitahu CNN, persatuan itu telah meluluskan bonus AS$10,000 (RM40,120) kepada setiap pemain jika mereka menang dalam perlawanan pembukaan.
“Ya, pemain Super Eagles akan menerima AS$10,000 setiap seorang. Itu adalah bonus kemenangan bagi perlawanan itu,” kata Ademola Olajire.
Terdapat laporan meluas di Nigeria menyatakan menteri sukan negara itu berjanji untuk menaikkan bonus kemenangan AS$15,000 (RM60,180) untuk setiap pemain jika berjaya menewaskan Iceland pada aksi seterusnya.
Namun, pegawainya, Nneka Anibeze menegaskan laporan itu tidak benar kerana bonus tambahan itu hanyalah kepada bonus sedia ada yang ditawarkan untuk perlawanan pertama sahaja.
Kekalahan pasukan kepada Croatia turut menyaksikan mereka terlepas bonus AS$50,000 (RM200,600) yang dijanjikan penaja pasukan kebangsaan mereka, Aiteo.
Selain itu, Presiden NFF, Amaju Pinnick mengesahkan mereka turut terlepas lagi AS$50,000 yang ditawarkan oleh Presiden Senat Nigeria, Bukola Saraki jika berjaya memenangi semua perlawanan mereka. - AGENSI