.... Shahidan diminta hentikan polemik di Perlis | AAKJ



Shahidan diminta hentikan polemik di Perlis

KUALA LUMPUR: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim diminta reda dan tidak lagi membangkitkan sebarang polemik atau krisis mengenai kepemimpinan negeri itu.

Penganalisis politik Datuk Ismail Sualman berkata, sekarang ialah zaman bekerja untuk rakyat dan Shahidan perlu berhenti berpolitik atau membangkitkan lagi isu berkenaan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lepas.

Jelasnya, ketokohan Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man adalah atas dasar kekuatan yang ada pada personaliti barisan kepemimpinan di negeri itu sendiri.

"Saya fikir dia (Shahidan) kena bersetuju dan bekerjasama dengan kepimpinan sedia ada. Itu kepimpinan melalui teladan. Maksudnya, sekarang zaman berpolemik dan berpolitik sudah berakhir.

"Exco sudah ditentukan, menteri besar juga sudah direstui Sultan. Shahidan adalah Ahli Parlimen.
"Walaupun dia Pengerusi Barisan Nasional Perlis tetapi yang bekerja itu barisan kepimpinan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) masing-masing di kawasan berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini. 

Ismail menambah, rakyat perlu diberi keutamaan dan tidak sepatutnya timbul isu melawan arus hendak menentang pihak pengurusan atau Raja Perlis.

"Apa yang penting, selepas mandat diberikan, sekarang berikan perkhidmatan. Bekerja lebih keras untuk memastikan rakyat terbela. Itu matlamat utama dalam politik, iaitu untuk kesejahteraan rakyat," katanya.

Ismail mengulas pelantikan lapan wakil rakyat di Perlis yang mengangkat sumpah jawatan Exco pada Rabu.

Sebelum ini, keputusan melantik Azlan sebagai Menteri Besar diboikot sembilan ADUN dari BN yang tidak muncul pada majlis angkat sumpah.

Misteri 'kehilangan' mereka turut dikejutkan dengan sidang media oleh Shahidan yang mahu pelantikan itu dibatalkan.

Pada sidang itu, beliau turut menyebut bahawa Tuanku Raja Perlis tidak perlu campur tangan dalam pentadbiran negeri.

Tindakan Shahidan itu menerima reaksi Keluarga Besar Jamalullail yang mewakili kerabat diraja Perlis yang telah membuat laporan polis terhadapnya selain sembilan lagi ADUN BN negeri itu.

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top