Majlis Perundingan Melayu (MPM) dalam kenyataan di sini berkata, satu persatu penjawat awam kanan dan penjawat korporat kanan digugurkan, diganti atau diberikan isyarat untuk berundur.
Menurutnya, jika pengunduran, penggantian atau pengguguran mereka kerana lantikan politik, itu boleh diterima, namun terdapat isu-isu membabitkan integriti, kredibiliti dan amanah yang dipertikaikan kerajaan Pakatan Harapan.
“Secara kebetulan pula kesemua mereka terlibat adalah dalam kalangan kaum Melayu dan bumiputera. Mungkin ia satu kebetulan.
“Jika asas mereka berundur, diganti atau digugurkan berkait rapat dengan isu integriti, kredibi­liti dan amanah yang mereka pikul, maknanya, selama ini wujud konflik dengan akujanji mereka dalam memikul tanggungjawab tersebut. Sebagai penganut Islam, adakah amalan agama mereka telah gagal menjadikan mereka penjawat awam atau penjawat korporat seperti dituntut dalam Islam?,” katanya.
Tambah MPM, kejatuhan Bari­san Nasional (BN) dalam PRU-14 ibarat satu avalanche (runtuhan salji) yang maha dahsyat iaitu runtuh bersamanya kepemimpinan institusi kerajaan dan korporat yang sekian lama diterajui oleh orang Melayu dan bumiputera.
Katanya, avalanche itu pula menghempap dan turut meruntuhkan beberapa institusi Islam yang berperanan memajukan Islam di negara ini.
“Jangan semata-mata menya­lahkan rakan-rakan kita dalam kalangan bukan Islam jika mereka berfikiran negatif terhadap semua institusi Islam yang kini hangat diperdebatkan. Banyak daripada persepsi negatif itu berpunca tindak-tanduk kita sendiri sebagai orang Islam. Kita wajib berlapang dada menerima kritikan ini.
“BN yang kini hampir kembali mirip wajah Parti Perikatan, wajib pikul tanggungjawab terhadap tragedi avalanche ini. Kini, ba­nyak institusi Islam dirombak serta ramai peneraju pentadbiran atau korporat terpaksa melepaskan jawatan masing-masing.
“Untuk itu UMNO dan BN wajib bangkit perbetulkan kesilapan yang berlaku. Ia bukan musibah, ia satu pengajaran amat pahit untuk ditelan iaitu cabaran dihadapi kepemimpinan parti,” katanya.
Menurut MPM, pemimpin UMNO dan BN perlu ingat, hanya sekitar 30 peratus Melayu dan bumiputera dilihat menyokong Pakatan Harapan.
Jelasnya, kurang 60 peratus lagi sebenarnya masih bersama BN manakala selebihnya komited bersama Pas sebagai penyokong tegar.
“Pemimpin BN wajib kembali kepada semangat perjuangan asal semasa dalam Parti Perikatan, tapi dalam orde baru. Mereka adalah pemimpin rakyat dan rakyatlah punca amanah kepemimpinan yang mereka pikul.
“Dalam kalangan komponen BN pula, mereka wajib pamerkan semangat setiakawan tinggi dan saling bantu-membantu. BN wajib dijenamakan semula dan diterima rakyat sebagai parti kemakmuran dan perpaduan,” katanya.