Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pihaknya menghargai segala input oleh Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mengalu-alukan semua pandangan atau maklum balas rakyat untuk menyelamatkan ekonomi negara.

Namun, jelas beliau, Kementerian Kewangan akan terus membongkar semua skandal kewangan dalam tempoh 100 hari seperti mana yang telah diarahkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Malah, menurut Guan Eng, Anwar sendiri telah sedia maklum dan memahami bahawa semua pendedahan skandal kewangan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan skandal lain adalah atas arahan Dr. Mahathir.
“Saya telah mengambil inisiatif sendiri berjumpa dengan Anwar beberapa kali untuk memberikan penerangan kepada beliau tentang keadaan ekonomi negara dan juga skandal kewangan yang memudaratkan beban tanggungan hutang.
“Keadaan fiskal kerajaan terjejas kerana hutang yang melebihi RM1 trilion ekoran skandal kewangan 1MDB dan perbelanjaan yang boros sebelum ini. Anwar juga terkejut dengan impak negatif penyelewengan kewangan dalam bentuk memalsukan penyata kewangan, menyorokkan fail penyata kewangan dan menanda fail penyata kewangan berwarna merah khas untuk orang tertentu sehingga tidak boleh diakses oleh Ketua Audit Negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Anwar hari ini yang meminta Menteri Kewangan supaya lebih sensitif dan berhati-hati ketika memberi kenyataan kerana dibimbangi boleh menjejaskan keyakinan pelabur asing ke negara ini. - UTUSAN ONLINE