Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, ini sekali gus menepati janji manifesto Pakatan Harapan kerana sejak tahun 2000 lebih sejuta peminjam telah disenarai hitamkan, namun 655,000 daripada mereka telah membuat bayaran secara berpe­ringkat berjumlah RM1.9 bilion dan telah bebas senarai hitam.
“Saya jangka semua urusan pemutihan ini dapat diselesaikan sebelum pertengahan Jun. Maka dengan itu, saya percaya bahawa janji pertama berkaitan kementerian ini dapat dikotakan kepada rakyat.
“Kita juga berjanji untuk menangguhkan pembayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam yang mendapat gaji kurang daripada RM4,000 sebulan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu Maszlee menghadiri majlis penyerahan surat tawaran rasmi kemasukan ke Universiti Awam (UA) dan Matrikulasi Sesi Akademik 2018/2019 kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sini.
Mengulas mengenai penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN bagi peminjam yang gaji kurang daripada RM4,000, Maszlee berkata, satu kumpulan khas akan ditubuhkan bagi mengkaji kaedah terbaik pelaksanaan janji itu.
“Selepas menilai kadar hutang negara, kerajaan melalui Jemaah Menteri melihat perlunya janji-janji Pakatan Harapan dilaksanakan mengikut keutamaan dan kepentingan dengan memberikan tumpuan kepada kepentingan rakyat.
“Sehubungan itu, kaedah pe­nangguhan bayaran balik bagi mereka bergaji kurang RM4,000 akan dibuat secara terperinci merangkumi semua aspek agar tidak memberi kesan kepada rakyat dan negara,” katanya.
Ditanya mengenai peminjam yang tersenarai dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS) Maszlee berkata, peminjam yang terlibat dengan CCRIS perlu menghubungi PTPTN untuk membuat penstrukturan semula.
Sementara itu, bagi memastikan semua janji-janji manifesto melibatkan kementeriannya ditunaikan, Maszlee berkata, beliau telah mengarahkan satu Ja­watankuasa Induk Perlaksa­naan Manifesto Pakatan Harapan dibentuk.
“Saya akan mempengerusikan jawatankuasa yang dianggotai oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi dan semua pengurusan tertinggi kementerian. Mesyuarat pertama ialah pada minggu hadapan,” katanya.
Dalam pada itu, Maszlee turut mengumumkan sebanyak 182,409 calon lepasan SPM ditawarkan tempat bagi kemasukan ke program-program prauniversiti, sijil dan diploma di Universiti Awam (UA), politeknik; kolej komuniti dan institut latihan kemahiran asas seluruh negara bagi sesi akademik 2018/2019 ambilan Jun.