Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, beliau percaya Dr. Mahathir akan memberikan lebih banyak maklumat berhubung perkara itu selepas Perdana Menteri tiba di tanah air.
“Setakat kita tahu, kerajaan komited untuk memperbaiki program pengangkutan awam. Saya rasa komitmen kerajaan adalah untuk membantu masyarakat awam mendapat keterhubungan pengangkutan yang lebih baik.
“Perdana Menteri juga memberi komitmen dan sokongan penuh bahawa kita perlu memperbaiki sistem pengangkutan awam kita termasuk bas dan teksi,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Dr. Mahathir ketika di Tokyo, Jepun semalam membayangkan bahawa Malaysia bakal memiliki satu lagi projek kereta nasional setelah pemilikan Proton kini sebahagiannya telah dijual kepada syarikat China, Geely.
Perdana Menteri berkata, kemungkinan juga projek ini akan turut membabitkan rakan-rakan negara ASEAN yang lain. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/projek-kereta-nasional-baharu-tunggu-kenyataan-tun-dr-mahathir-1.690224#ixzz5ICCh9Rud
© Utusan Melayu (M) Bhd