.... Projek HSR ditangguhkan, bukan batal, kata Dr Mahathir | AAKJ



Projek HSR ditangguhkan, bukan batal, kata Dr Mahathir
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengakui negara akan mendapat manfaat daripada projek Kereta Api Laju Kuala Lumpur-Singapura tetapi ia tidak mampu dilaksanakan buat masa ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Jun, 2018.
PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata beliau hanya menangguhkan projek Kereta Api Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR) dengan Singapura, bertentangan dengan pendirian keras sebelum ini untuk membatalkan perjanjian selepas mengakui Malaysia akan mendapat manfaat daripada projek itu, ketika temu ramah dengan Nikkei Asian Review Jepun.
"Akan ada keperluan untuk kereta api berkelajuan tinggi di masa depan, mungkin melalui Semenanjung. Tetapi kita tidak mampu buat masa ini," katanya.
"Jadi, kita sebenarnya menangguhkan pelaksanaan projek itu."
Komen Dr Mahathir itu adalah yang pertama selepas pendirian agak keras pentadbirannya sebelum ini untuk membatalkan sepenuhnya projek itu, satu tindakan yang boleh menyebabkan sejumlah penalti besar sekiranya ia dibatalkan.
Dalam wawancara dengan akhbar Jepun, Dr Mahathir mengakui walaupun kereta api berkelajuan tinggi berguna pada masa akan datang, kos untuk projek HSR - yang diletakkan pada RM110 bilion - terlalu tinggi pada masa kerajaan cuba mengurangkan hutang negara sebanyak RM1 trilion.
Beliau juga berkata persetujuan dengan Singapura tidak memberi manfaat kepada Malaysia, kerana panjang trek - yang akan menghubungkan Singapura ke Johor dan Kuala Lumpur - terlalu pendek untuk mewajarkan pelaburan dalam projek itu.
"Kereta api berkelajuan tinggi paling efektif sekiranya jaraknya jauh. Tetapi bagi jarak yang pendek, ia tidak memberi pulangan yang banyak," kata Dr Mahathir.
"Jadi kita perlu memikirkan semula kereta api berkelajuan tinggi. Kita tidak boleh mengatakan kita tidak akan mempunyai kereta api berkelajuan tinggi di Malaysia. Apa yang boleh kita lakukan ialah menangguhkan projek itu kerana ia terlalu mahal buat masa ini."
Kementerian Pengangkutan Singapura mengeluarkan satu kenyataan yang mengatakan belum menerima pemberitahuan rasmi dari Putrajaya, berikutan pengumuman Dr Mahathir mengenai rancangan untuk membatalkan projek HSR bulan lepas. – 12 Jun, 2018.

Sumber: https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/54188

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top