Exco Pemuda UMNO, Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, tidak dinafikan Khairy membawa suara anak muda selain cukup popular dalam kalangan rakyat di negara ini melalui reputasinya yang cukup baik.
Malah katanya, kalau dilihat melalui media-media sosial ramai dalam kalangan netizen menyokong Khairy bertanding jawatan Presiden UMNO dan situasi itu boleh dijadikan sebahagian daripada kayu pengukur bahawa mereka menerima baik Ahli Parlimen Rembau itu.
“Kita tidak boleh lihat apa yang ahli mahukan sahaja, sebaliknya dalam keadaan UMNO sekarang, kehendak rakyat perlu sama dilihat. Kedua-dua itu perlu diimbangi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam Khairy mengumumkan bertanding jawatan Presiden UMNO dalam pemilihan parti itu, pada 30 Jun ini.
Sebelum itu, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah turut mengesahkan bertanding bagi jawatan Presiden UMNO.
Turut mengumumkan untuk bertanding jawatan tersebut sebelum ini ialah, Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan blogger, Rahmat Azim Abdul Aziz.
Sementara itu, Fathul Bari berkata, dua calon lain, iaitu Ahmad Zahid dan Tengku Razaleigh juga merupakan antara tokoh hebat yang layak diketengahkan sebagai Presiden UMNO.
“Apa jua sekalipun saya harap pemilihan kali ini berlangsung dalam suasana penuh kekeluargaan,” katanya. - UTUSAN ONLINE