.... PENEROKA FELDA JENGKA LAPOR POLIS TIDAK TERIMA INSENTIF | AAKJ




MARAN, 28 Jun : Seramai 100 peneroka Felda Jengka di sini membuat laporan polis mendakwa pengurusan tertinggi  Felda gagal melunaskan bayaran insentif khas kepada mereka sebanyak RM5,000 masing-masing.

Wakil kumpulan itu Razali Ithnain, 56, dari Felda Jengka 10 berkata bayaran berkenaan merupakan janji yang diumumkan oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Julai tahun lalu.

Untuk rekod, insentif berkenaan dibayar kepada 94,956 peneroka Felda pada Ogos tahun lalu.

Menurut Razali sehingga kini mereka masih tidak menerima sebarang bayaran sedangkan ramai antara peneroka lain  sudah menerima bayaran masing-masing sejak Ogos tahun lalu.

“Apabila ditanya kepada pengurus Felda mereka suruh kami menunggu bulan depan… selepas bulan depan, tunggu lagi bulan depan sampailah sekarang kami tidak terima satu sen pun,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di sini.

Sementara itu, seorang lagi  peneroka di Felda Jengka 10, Awang Daud, 66 berkata dia merasa tertipu apabila terpaksa memulangkan kembali wang RM5,000 yang diterimanya apabila pengurusan Felda mendakwa berlaku tersalah akaun.

Katanya dia menerima wang itu pada 2 Jan lalu namun pada 5 Jan kerani pejabat pengurusan datang berjumpanya dan meminta agar wang tersebut dikembalikan kerana tersalah masuk akaun.

“Tanpa sebarang syak, saya pulangkan semula sebelum merujuk hal berkenaan kepada pengurus rancangan.

“Tidak ada sebarang resit diberikan ketika wang diambil semula, tetapi selepas saya tanya pengurus rancangan barulah mereka bagi resit yang tertulis ‘salah masuk akaun’,” katanya.

Menurutnya susulan kejadian itu anaknya membuat semakan dengan ibu pejabat Felda di Kuala Lumpur dan dimaklumkan status bayaran insentif kepadanya telah dibuat dan tiada arahan wang ditarik balik.



Katanya pihak Felda kemudian memintanya memberikan nombor akaun bank lain namun sehingga kini tiada bayaran diterima.

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top