Bekas Setiausaha Otai Reformis 1998, Abdul Razak Ismail berkata, PKR disifatkan tidak berlaku adil dalam urusan pelantikan tersebut selepas mengetepikan surat sokongan daripada parti komponen Pakatan Harapan.

Malah katanya, apa yang mendukacitakan barisan kepemimpinan PKR tidak mempertahankan fitnah berhubung penyelewengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang dikaitkan dengan Idris sehingga dilihat punca penolakannya sebagai calon Menteri Besar.
"Kami bukannya menyanggah tindakan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang telah melantik Menteri Besar baharu. Tetapi isu ini timbul dan dalam masa yang sama ada surat lain dikeluarkan sehingga mengatasi surat pencalonan Idris.
"Sekarang kita boleh lihat tindak-tanduk pemimpin PKR yang sewenang-wenangnya menolak keputusan parti lain dalam Pakatan Harapan. Ini tidak adil kepada beliau (Idris)," katanya dalam sidang akhbar di kediaman Idris, di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE