Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran memaklumkan, pihaknya mendapati syarikat mangsa berkenaan tidak melakukan caruman di bawah Perkeso.
“Saya simpati dengan keluarga mangsa, adalah satu mendukacitakan bagi keluarga mangsa kerana tidak mendapat sebarang faedah di bawah skim Perkeso walaupun meninggal dunia sewaktu bekerja.
“Malah semakan kami mendapati sehingga April lalu, hanya kira-kira 4,231 pemandu teksi termasuk e-hailing daripada keseluruhan 90,000 orang yang mencarum Perkeso,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Malaysia Commuting Accident dan Road Safety Seminar di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Kulasegaran berkata, undang-undang negara mewajibkan setiap majikan membuat caruman Perkeso bagi menjamin kebajikan setiap para pekerja.
“Kerajaan tidak terlalu menekankan aspek penguatkuasaan kerana ingin lebih mesra perniagaan serta tidak mahu majikan rasa dipaksa untuk melakukannnya.
“Tidak banyak jumlah caruman, hanya kira-kira RM15 sebulan atau RM150 setahun.
Sehubungan itu, para majikan digalakkan untuk mendaftar Perkeso, memandangkan mereka telah bekerja keras pada setiap masa,” katanya.

Pada 24 Jun lalu, Aiman, 27, ditemukan dibunuh dalam kereta miliknya di tempat meletak kenderaan di Taman Selayang Makmur.
Sementara itu, Kulasegaran memaklumkan, pihaknya bersedia mengadakan dialog dengan mana-mana pihak berhubung cadangan tukang masak tempatan.
Katanya, beliau sehingga kini masih tidak menerima surat jemputan daripada mana-mana pihak bagi membincangkan mengenai cadangan berkenaan.-UTUSAN ONLINE