Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, tidak wajar jawatan tersebut disandang oleh seorang muslim berfahaman sekular dan bukan Islam.
"Adalah tidak wajar melantik seorang muslim yang pekat dan totok sekularnya. Begitulah juga jika Peguam Negara dilantik daripada kalangan non muslim.
"Kedua-dua lantikan tersebut amat dibimbangi akan gagal menasihati Yang Di Pertuan Agong dalam perkara paling utama iaitu 'memeliharakan pada setiap masa Agama Islam'," kata Nik Abduh dalam hantaran terbaharunya di Facebook.

Menurut Ahli Parlimen Bachok itu adalah menjadi kewajiban bagi setiap muslim untuk menjaga agama Islamnya.
Tegas Nik Abduh, sebarang usaha yang nyata dan tersembunyi untuk menjauhkan agama Islam daripada berperanan dalam membina negara Malaysia haruslah ditolak dan ditentang.
"Sesungguhnya tiada yang lebih sejahtera untuk negara selain mengambil Islam sebagai panduan hidup. Islam adalah agama daripada sisi Allah, tuhan pencipta manusia yang maha mengasihani dan maha adil," kata Nik Abduh.
Sebuah portal berita sebelum ini melaporkan, surat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menulis kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V memohon perkenan agar Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dipecat dan digantikan dengan peguam kanan yang juga pakar perlembagaan, Tommy Thomas belum mendapat maklum balas dari pihak istana..-UTUSAN ONLINE