.... Pas Terengganu sambut kedatangan Che Zulkifly | AAKJ



Pas Terengganu sambut kedatangan Che Zulkifly
Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam laman facebook rasminya memaklumkan bekas Ahli Parlimen Setiu itu menyertai Pas setelah Mesyuarat Pas Pusat telah meluluskan permohonannya. (Gambar kiri: Satiful Bahri)
KUALA TERENGGANU - Pas Terengganu mengalu-alukan kemasukan bekas Ahli Parlimen Setiu, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh ke dalam parti itu dan mengucapkan tahniah kerana memilih untuk berjuang bersama Pas.
Timbalan Pesuruhjaya I Pas Terengganu, Satiful Bahri Mamat berkata, Pas membuka tangan seluas-luasnya kepada sesiapa yang ingin bersama parti itu dan memahami dasar dan perjuangannya serta bersedia bersama-sama memikul dasar parti berkenaan.
Menurutnya, kehadiran Zulkifly diharap akan dapat memperkuatkan lagi Pas di Terengganu dan Malaysia.
“Beliau merupakan bekas hakim dan ahli Parlimen, sudah ada nama tetapi kenapa pilih Pas? Ada banyak pilihan untuknya untuk pergi ke Pakatan Harapan yang kini memegang kuasa kerajaan Pusat.
“Beliau boleh buat pilihan nak pergi Bersatu, PKR atau Amanah, sedangkan Pas hanya kuasai dua negeri sahaja. Saya percaya, dia yakin dengan perjuangan Pas, yang merupakan parti teras yang terhimpun dalamnya majoriti Melayu dan Islam.
“Mungkin beliau melihat sudah sampai masanya dia bersama dengan Pas dan itu merupakan pilihannya, begitu juga dengan Datuk Kamilia Ibrahim,” katanya kepada Sinar Harian.
Sebelum itu, Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam laman Facebook rasminya memaklumkan, bekas Ahli Parlimen Setiu itu menyertai Pas setelah Mesyuarat Pas Pusat telah meluluskan permohonannya.
Zulkifly merupakan Ahli Parlimen Setiu dari tahun 2013-2018 dan merupakan Bendahari Umno Bahagian Setiu.
Beliau sebelum ini merupakan Hakim Mahkamah Seksyen Bahagian Jenayah Komersial di Kuala Lumpur sebelum bergiat aktif dalam politik.
Mengulas lanjut, Satiful Bahri berkata, Zulkifly sebelum ini memberikan kerjasama yang positif terhadap Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU355 dan hadir ketika wacana tentangnya diadakan di sebuah hotel di Terengganu, anjuran badan bukan kerajaan.
“Mungkin disebabkan latar belakangnya juga, sebab dia bekas pelajar KIK (Kolej Islam Klang) dan dia tahu serta faham perjuangan Pas.

“Saya rasa dia melihat kepada dasar parti, perjuangan kita meletakkan Islam sebagai matlamat kerana manusia ini dalam perjalanan hidupnya, akhir sekali akan kembali kepada fitrahnya,” katanya.


Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top