Peguam Ranjit Singh yang mewakili Rafizi memberitahu pemberita, bekas Perdana Menteri itu dan isterinya, menarik balik saman itu dan bersetuju membayar kos berjumlah RM20,000 kepada Rafizi dan Chee Kong yang dinamakan sebagai pihak defendan. 
Menurut Ranjit, Rafizi juga bersetuju menarik balik saman balas yang difailkan terhadap Najib dan Rosmah. 
Saman tersebut kemudiannya dibatalkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Rohani Ismail dalam prosiding yang berlangsung di kamar hakim. 
Datuk Mohd. Hafarizam Harun yang mewakili Najib dan Rosmah mengesahkan, anakguamnya telah menarik balik saman tersebut. 
Pada 16 April 2015, pasangan terbabit telah menyaman Rafizi dan pemilik portal dalam talian Mediarakyat.com, MR Multimedia, Chan Chee Kong atas dakwaan memfitnahnya berkaitan isu subsidi minyak.
Chee Kong diwakili peguam Joanne Leong. 
Najib dan Rosmah selaku pihak plaintif mendakwa, Rafizi yang dinamakan sebagai defendan pertama merupakan salah seorang penceramah utama dalam satu forum berkaitan subsidi minyak di Bandar Tun Razak pada 22 November 2014.
Ucapan tersebut telah dirakamkan oleh Media Rakyat dan dimuat naik oleh Chee Kong yang dinamakan sebagai defendan kedua dalam laman sosial YouTube dan di laman sesawang mediarakyat.net di bawah tajuk, Rafizi Ramli: Kenapa kita pertahankan subsidi minyak. -UTUSAN ONLINE