Najib dan Rosmah dikatakan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) diiringi kira-kira 13 ahli keluarga pukul 8 malam semalam.
Difahamkan, bekas Perdana Menteri itu meluangkan masa berkunjung ke pulau peranginan tersebut untuk bercuti selama tiga hari sempena Hari Raya Aidilfitri.
Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Datuk Ir. Nawawi Ahmad ketika dihubungi berkata, bekas pemimpin nombor satu negara itu berkunjung ke Pulau Langkawi untuk bercuti.
“Saya bersama kepimpinan UMNO Bahagian Langkawi lain menyambut bekas Perdana Menteri itu sebagai tanda memberikan sokongan moral kepada Najib sekeluarga,” katanya.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kunjungan tersebut.
Dalam pada itu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Nor Saidi Nanyan berkata, beliau turut hadir di LTAL sebagai tanda sokongan moral kepada Najib dan keluarganya.
“Tiada sebarang pertemuan tertutup dengan pemimpin UMNO sebaliknya bekas Perdana Menteri itu datang ke sini untuk bercuti,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE