Musa turut menegaskan keberadaan beliau di luar negara itu adalah secara sah dan keluar pada 16 Mei lalu sekali gus menyangkal dakwaan kononnya keluar atau memasuki UK secara haram seperti dakwaan beberapa pihak sebelum ini.
Beliau turut mengesahkan beliau berada di negara itu bagi mendapatkan rawatan perubatan selain atas alasan peribadi.
“Perkara ini telah menyebabkan saya menjadi orang buruan dan sengaja mengelak daripada pihak berkuasa berhubung siasatan di Istana Negeri pada malam 10 Mei lalu dan perkara yang berkaitan.
“Tiada apa yang boleh diteruskan daripada perkara sebenar. Saya percaya bahawa beberapa laporan ini dibuat dengan niat untuk memalukan atau memburukkan saya atas alasan politik,” katanya dalam kenyataan akhbar yang diedarkan melalui pegawai perhubungan media beliau di sini hari ini.
Dalam pada itu, Musa yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga berkata, beliau juga telah memulakan prosiding di Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak bagi mendapatkan perintah terhadap Juhar dan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berhubung tindakan ultra vires dan tidak berpelembagaan selepas mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri pada 10 Mei lalu.
Ujarnya, Juhar secara salah meminta saya meletakkan jawatan dalam tempoh 48 jam dan enggan menandatangani surat pelantikan yang bermaksud untuk melantik Mohd. Shafie sebagai Ketua Menteri sedangkan saya masih memegang jawatan berkenaan.
“Perkara ini sekarang subjudis di Mahkamah Tinggi berikutan saman pemula yang saya failkan sebelum ini,” katanya.
Beliau juga bersedia untuk membantu polis dan pihak lain berhubung perkara itu selain sudah memaklumkan bahawa beliau sudah menjelaskannya kepada Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din.
“Sebarang soalan atau permintaan untuk maklumat lanjut berhubung kes berkenaan perlu dikemukakan melalui peguamnya di Malaysia dan London,” jelasnya.
Bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu sebelum ini dipercayai berada di London berdasarkan rakaman gambar yang tersebar dalam laman sosial.
Susulan perkara tersebut telah menimbulkan spekulasi kononnya beliau keluar secara haram dari negara ini berikutan kenyataan Jabatan Imigresen sebelum ini yang melaporkan tiada rekod Musa keluar dari Malaysia. - UTUSAN ONLINE