Majlis Sambutan Aidilfitri dan Pengenalan Calon-Calon Pemilihan UMNO 2018
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu menyifatkan, pemilihan parti umpama pertandingan sesama ahli keluarga yang mesti dijalankan dalam suasana harmoni.

"Tidak perlu debat, dalam rumahtangga kita pakat elok-elok kerana kita bertanding sesama sendiri.
"Kalau calon ada strategi kukuh tak perlu beritahu orang lain (melalui debat). Ini penting supaya strategi dan langkah UMNO tidak dibaca oleh orang lain," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Aidilfitri dan Pengenalan Calon-Calon Pemilihan UMNO 2018, di sini hari ini.
Majlis dihadiri Naib Presiden UMNO yang memangku tugas Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; calon Timbalan Presiden, Tan Sri Annuar Musa dan beberapa calon Naib Presiden serta Ahli Majlis Tertinggi.
Dua calon Presiden UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah dan Khairy Jamaluddin sebelum ini bersetuju untuk berdebat pada 29 Jun.
Sementara itu, Mohamad berkata, pemilihan kali ini memberi peluang kepada perwakilan memilih pemimpin terbaik untuk membantu parti itu bangkit semula.
Beliau turut menggariskan tiga kriteria utama yang perlu ada dalam kalangan pemimpin iaitu memiliki integriti yang tinggi, berwibawa dan merendah diri.
Katanya, UMNO perlu dijenamakan semula dan parti itu mesti menunjukkan kepada rakyat bahawa ia sudah melakukan perubahan. - UTUSAN ONLINE