Bintang Barcelona itu ditenggelamkan oleh skuad Croatia yang lebih gagah dalam kekalahan 3-0 yang menyebabkan pasukan dari Amerika Selatan itu memerlukan beberapa keputusan lain yang menyebelahi mereka untuk mara ke pusingan kedua.
KETUA pasukan Argentina, Lionel Messi (kiri) jelas kecewa selepas perlawanan dengan Croatia dalam Ku
Messi akan menyambut hari jadi ke-31 esok, dan kita mungkin akan menyaksikan dia bermain untuk kali terakhir dalam Piala Dunia tanpa memenangi sebarang gelaran besar bersama skuad negaranya walaupun mempunyai rekod mengagumkan bersama Barcelona.
Argentina kalah 1-0 kepada Jerman dalam perlawanan akhir Piala Dunia 2014 pada masa tambahan dan kemudian kalah berturut-turut kepada Chile menerusi penalti dalam perlawanan akhir Copa America 2015 dan 2016.
Messi telah memberi bayangan sebelum Piala Dunia kali ini bahawa dia akan bersara daripada pentas antarabangsa, selepas melakukannya pada 2016 sebelum menukar fikiran.
Selepas gagal menjaringkan gol menerusi sepakan penalti ketika seri 1-1 dengan Iceland dalam perlawanan pertama Argentina di sini, Messi dijangka akan lebih menyerlah apabila bertemu Croatia.
Namun, itu tidak berlaku. Malah sebelum sepak mula lagi bahasa tubuhnya membayangkan bahawa dia begitu tertekan dengan harapan besar yang dipikulnya.
Messi kemudian hampir tenggelam punca sama sekali dalam perlawanan apabila hanya menyentuh bola sebanyak 20 kali pada babak pertama.
Kesilapan besar dilakukan penjaga gol Willy Caballero menghadiahkan Croatia gol pendahuluan pada minit ke-53 menerusi sepakan lambung Ante Rebic.
Messi hampir menyamakan kedudukan dari jarak dekat tetapi rakan sepasukannya dengan Barca, Ivan Rakitic menghadang percubaannya.
Dia terdesak sehinggakan sekali-sekala turun ke bahagian pertahanan untuk mendapatkan bola tetapi berkali-kali terhalang oleh pemain-pemain Croatia.
Dua gol pada penghujung permainan menerusi sepakan Luka Modric pada minit ke-80 dan Ivan Rakitic 11 minit kemudian umpama belati yang menikam jantung Argentina dan peluang Messi, membuatkan pemain terbaik dunia lima kali itu kelihatannya ditakdirkan untuk tidak memenangi Piala Dunia.
“Realiti yang ada dalam skuad Argentina menyelubungi kehebatan Leo. Dia tidak dapat berbuat banyak kerana pasukan ini tidak serasi dengannya seperti yang sepatutnya,” kata jurulatih Jorge Sampaoli. – AP