.... MEREKA MENGKHIANATI UNDI SERTA KEPERCAYAAN RAKYAT | AAKJ




Tindakan Pemangku Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazan Dusun Murut (UPKO), Datuk Seri Wiflred Madius Tangau yang menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan) disifatkan sebagai pengkhianat kepada rakyat khususnya pengundi di Parlimen Tuaran.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, langkah itu jelas membuktikan sikap pemimpin tersebut tidak mempunyai pendirian tetap sehingga mengetepikan kepercayaan yang diberikan rakyat.
Hajiji berkata, tindakan tersebut bagaimanapun tidak akan menjejaskan UMNO dan BN malah parti itu yakin akan bangkit kembali untuk terus berkhidmat kepada rakyat selepas ini.
“Saya sangat sedih dan terkilan dengan tindakan beliau (Madius) kerana kami bekerja keras untuk memastikan kemenangannya, tetapi beliau sanggup mengkhianati kita dan penyokongnya.
“Pada dasarnya, BN Sabah sudah menang dalam PRU-14 dan sudah membentuk kerajaan mengikut Perlembagaan menerusi kerajaan campuran BN dengan Parti Solidariti Anak Negeri (Star), tetapi oleh kerana sikap pemimpin yang tidak mempunyai pendirian telah menimbulkan masalah kepada kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Kesyukuran dan Berbuka Puasa anjuran UMNO Bahagian Tuaran.
Terdahulu beliau turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada 30 anak yatim dan miskin dari Home Tuaran sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan diraikan minggu ini.
Yang turut hadir ADUN Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai; ADUN Tamparuli, Datuk Jahid Jahim; Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tuaran, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan Naib Ketua UMNO Bahagian Sulaman, Abdul Kassim Razali.
Hajiji yang juga Ketua UMNO Bahagian Tuaran menegaskan, Pengerusi BN negeri, Tan Sri Musa Aman merupakan Ketua Menteri Sabah yang sah mengikut undang-undang dan Perlembagaan.
“Kita akan pastikan kerajaan negeri yang diangkat sumpah kedua kali adalah tidak sah sama sekali dan akan memastikan kes ini dibawa ke mahkamah,” jelasnya / utusan

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top