Calon Presiden UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah sehubungan itu, mengingatkan agar Setiausaha Agung DAP itu tidak meneruskan perbuatan tersebut kerana boleh menimbulkan huru-hara.
Beliau menegaskan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi sudah termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.
"Ini merupakan perbuatan bodoh, mana boleh kita (rakyat Malaysia) bersetuju (mengeluarkan kenyataan rasmi dalam bahasa Mandarin).
"Ini bukan sebahagian daripada China dan tiada tolak ansur tentang perkara itu (bahasa rasmi)," katanya ketika ditemui selepas menghadiri sesi ramah mesra bersama calon Presiden UMNO di sebuah hotel di sini hari ini.
Tengku Razaleigh diminta mengulas kritikan pelbagai pihak terhadap tindakan Guan Eng yang mengeluarkan kenyataan rasmi kementeriannya di dalam bahasa Mandarin selain bahasa Melayu dan Inggeris.
Yang turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Mengulas mengenai siri sesi beramah mesra dengan pemimpin-pemimpin UMNO di negeri-negeri, Tengku Razaleigh berkata, beliau menerima sambutan yang menggalakkan.
"Namun undi masing-masing, saya tak pasti sama ada ia berbentuk sokongan (undi). Saya telah ke Pulau Pinang, Perlis, Kedah dan akan menamatkan siri beramah mesra zon utara di Perak malam ini," katanya.
Dalam pada itu, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, Tengku Razaleigh mempunyai tiga ciri Presiden yang diyakini boleh membawa UMNO kembali mendapat sokongan rakyat.
Katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, pertamanya, bebas daripada terpalit kes-kes rasuah, dihormati oleh institusi beraja dan pernah menjawat jawatan penting menguruskan kewangan negara sebagai Menteri Kewangan. - UTUSAN ONLINE